PEMAIN bass kumpulan Search, Nasir Daud menyifatkan cadangan peminat agar nama Search digunakan semua yang pernah bernaung dalam band itu sebagai perkara mengarut.
Ujar Nasir, 65, saranan tersebut tidak seharusnya ditimbulkan kerana Search adalah satu institusi yang perlu dihormati.
“Cadangan itu tak perlulah diberi perhatian. Benda sebegini tak pernah terjadi dan kebanyakan benda-benda pelik ini, berlaku di Malaysia sahaja.
Jenama Search ini adalah satu institusi yang orang boleh rujuk. Ini bukan baju yang boleh sewenang-wenangnya disarung atau umpama makanan. Ini satu institusi dan tolong hormatinya.
“Saya rasa, lebih baik sekiranya Search pergi ke kolej-kolej atau universiti untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama generasi baharu,” katanya kepada HIBGLAM.
Disoal mengenai isu royalti daripada album Rockology Search: Kid’Din Collection yang dikeluarkan pemain gitar adik-beradik, Din dan Kid tanpa pengetahuan mereka, Nasir enggan mengulas lanjut namun menegaskan tindakan yang bakal diambil adalah mengikut saluran betul.
“Kami tak mahu cakap apa-apa dah. Bukan abaikan atau apa, tapi kita rehat dahulu buat sementara waktu.
Apa pun nanti biarlah saluran yang betul. Saya tak katalah nak pergi ke mahkamah, tapi saluran yang betul.
“Kami tak tunggu apa pun. Kami tak kisah. Nak cakap, cakap. Benda ini dah tular dan semua orang dah tahu. Cuma, kalau ada pun, saya rasa saya tak nak sentuh sebab nanti melarat-larat,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur, petang tadi.
Kumpulan Search kini berpecah dua iaitu yang dianggotai pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid serta satu lagi kumpulan dianggotai Amy, Nasir Daud (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang (gitar) yang turut menggunakan nama sama iaitu Search.
Diskografi Rockology Search: Kid’Din Collection Series yang mengandungi 17 barangan istimewa antaranya cakera padat kompilasi lagu berat mula dijual pada 17 November 2021 dengan harga RM299.
Dalam perkembangan terbaharu, Search bakal mengadakan Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 21 September depan di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) itu bakal menyaksikan Search mempersembahkan lagu-lagu popular mereka, menggabungkan muzik rock dan orkestra dan diiringi 30 pemuzik orkestra. – HIBGLAM