PENYAMPAI radio Fizi Ali menerima dan bersetuju dengan keputusan mahkamah menyerahkan hak hadanah interim (sementara) anak mereka, Ameena Sofia kepada bekas isterinya, pelakon Shakilla Khoriri.
Fizi atau Mohd Hafizudin Alimudin, 35, berkata, tidak pernah ada niat mahu merampas hak jagaan sebaliknya hanya ingin mendapatkan hak lawatan dan bermalam bagi memastikan Ameena mendapat kasih sayang seimbang.
Ada yang DM (direct messege) gelakkan saya dengan tulis padan muka kalah. Ini bukan pertandingan kalah atau menang.
“Sekali lagi saya nak tekankan, saya tidak berebut hak jagaan. Cuma mahukan hak melawat, bermalam dan hak untuk Ameena mendapat kasih sayang sama rata,” katanya sekali gus menepis ejekan segelintir pihak dia kalah dalam kes hak hadanah interim.
Dedah Fizi, dia dan Shakilla juga telah mencapai kata sepakat berhubung perkara berkenaan sebelum ini.
Hadanah interim dah selesai atas persetujuan baik kedua-dua belah pihak dan budi bicara peguam masing-masing.
“Terima kasih kerana untuk Ameena kita perbetulkan dan perbaiki mana yang perlu,” jelasnya.
Penyampai radio Hot FM itu juga memberitahu dia dan Shakilla sudah mencapai kata sepakat bagi hadanah induk (hak penjagaan kekal) yang bakal diselesaikan di mahkamah kelak.
Sejak awal saya memang sudah setuju beri hak jagaan kepada Shakilla dan kami melalui peguam telah mencapai persetujuan tentang hak jagaan dan lawatan. Bukan interim tetapi yang kekal juga.
“Orang yang cakap kalah, mereka tak faham. Tiada keperluan untuk saya fahamkan. Yang penting syukur saya dapat hak saya bersama Ameena,” katanya lagi.
Semalam, Shakillah memaklumkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan hak hadanah interim hadanah Ameena diserahkan kepadanya.
Terdahulu, Shakilla dan Fizi Ali berkahwin pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan perceraian mereka pada Disember 2021.
Namun, pada 15 Disember tahun lalu, Fizi memfailkan tuntutan hadanah terhadap Shakilla berhubung hak penjagaan Ameena yang kini berusia 5 tahun.
Kata Fizi, tindakannya memfailkan hadanah bukan untuk berebut anak sebaliknya hanya mahu anak perempuanya itu mendapat kasih sayang daripada dua ibu bapa kandungnya. – HIBGLAM