MAAF atas kekhilafan saya dan rakan artis yang lain.”
Demikian permohonan maaf dizahirkan pelakon Nadhir Nasar apabila namanya berada dalam senari artis yang mahu diboikot netizen gara-gara masih mempromosikan produk dan jenama mewah menyokong Zionis.
Menurut Nadhir atau nama penuhnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 28, keputusan bekerjasama dengan beberapa jenama mewah tersebut telah dilakukan lebih awal kerana percaya dapat membantu melebarkan karier seninya ke tahap lebih tinggi.
Netizen mempunyai hak untuk bersuara dan impak tersebut sangat besar, percayalah.
“Kerjasama dengan jenama tersebut dibuat tahun lalu dan berdasarkan keadaan ketika itu. Keputusan saya bekerjasama dengan mereka berdasarkan komitmen ikhlas untuk memupuk kreativiti dan menyokong artis seperti saya.
Walaupun memahami dan menghormati kebimbangan yang dikemukakan, adalah penting untuk saya teruskan komitmen kontrak dengan mereka,” katanya.
Tambah bintang filem Pendekar Awang itu, denda dan penalti yang tinggi akan dikenakan sekiranya dia ingin membatalkan mana-mana kontrak yang sudah ditandatangani sebelum ini.
Usaha menamatkan kontrak sebelum tamat tarikh kontrak akan memberi impak seperti denda, penalti wang dan potensi dikenakan tindakan undang-undang.
“Perkara ini bukan sahaja memberi kesan kepada diri saya malah orang lain yang terlibat dalam kolaborasi berkenaan,” ujarnya.
Sedar dengan ketidakpuasan hati ramai, dia menegaskan mengambil serius setiap maklum balas peminat dan akan menanganinya dengan lebih berhati-hati selepas ini.
Bahkan, dia juga berjanji akan menggunakan setiap platform media sosialnya dengan berkongsi perkara positif.
Saya ingin memberi jaminan bahawa saya mengambil maklum balas dengan serius dan komited untuk menangani sebarang kebimbangan dengan cara yang telus sert membina.
“Pada masa akan datang, saya akan terus melibatkan diri dengan komuniti dan berusaha untuk menggunakan platform saya untuk mempromosikan perkara positif dan perubahan sosial,” katanya lagi.
Terdahulu, wujud gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.
Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan atau menyokong Israel dalam media sosial milik mereka.
Antara nama besar yang diboikot ketika ini ialah Taylor Swift, Kim Kardashian, Blackpink, Lady Gaga dan Justin Bieber.
Netizen Malaysia turut tidak ketinggalan menyuarakan hal serupa dan menyenaraikan beberapa nama selebriti yang dikatakan masih mempromosikan produk menyokong Israel tanpa segan silu.
Selain Nadhir, nama artis tempatan yang turut disebut ialah Scha Alyahya, Daiyan Trisha, Eyka Farhana, Nabila Razali, Ameera Khan dan Neelofa. – HIBGLAM