PELAKON dan model Alicia Amin mempertahankan pendirian bapanya, Prof. Dr. Raja Amin Raja Mokhtar yang mencadangkan agar kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka kepada bukan Bumiputera, namun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah.
Alicia, 29, berkata, bapanya sebagai pengamal perubatan cakna tentang kekurangan doktor dan jururawat di pusat kesihatan kerajaan yang menjadi masalah negara mutakhir ini.
“Bapa saya bukan seorang yang rasis. Beliau percaya dengan peluang sama rata.
“Sesuatu benda itu memperjuangkan siapa-siapa (tanpa mengenal warna kulit atau kaum), itu yang beliau perjuangkan. Malaysia perlukan ramai doktor sekarang ini.
“Bapa saya faham perlembagaan negara macam mana. Kenapa UiTM itu ditubuhkan, kenapa klausa atau peruntukan perlembagaan itu wujud untuk melindungi hak Bumiputera.
“Bapa saya faham semua itu dan beliau ada idealoginya yang tersendiri,” ujarnya kepada HibGlam.
Ujar pelakon drama That Cover Girl itu, bapanya hanya menjalankan tugas sebagai seorang doktor perubatan yang bertanggungjawab menyelamatnya nyawa ribuan manusia tanpa mengenal perbezaan kaum, warna kulit atau fahaman politik.
“Beliau buat apa yang seorang doktor lakukan iaitu menyelamatkan nyawa. Dalam erti kata lain, memastikan negara sentiasa memiliki doktor yang mencukupi.
“Bapa saya berpindah dari sektor swasta ke sektor kerajaan, tidak fikir tentang wang hanya untuk berkhidmat untuk kerajaan.
“Kalau kalian nak tanya, kerja swasta berbanding kerajaan, duit (gaji) tersangatlah berbeza. Dulu kami hidup T20 (mewah) tapi apabila saya meningkat remaja, saya macam tidak lagi hidup semewah dahulu. Itu pengorbanan bapa saya sebagai seorang doktor,” jelasnya.
Secara peribadi, Alicia tidak langsung memandang perbezaan kaum itu sebagai halangan untuk sesuatu perkara terutama dalam perihal menuntut ilmu.
“Saya sendiri rasa sekarang tak patut ada apa-apa yang dipisahkan sebab bangsa atau kaum.
“Kita sudah jauh ke depan nak ‘civil war’ pasal Melayu, Cina dan India. Malaysia sudah sangat-sangat maju. Saya sendiri ramai kawan dari berbilang kaum. Itulah Malaysia,” tegasnya lagi.
Terdahulu, tular dalam media sosial bapa Alicia Amin mencadangkan agar UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera terutama bagi kemasukan pascasiswazah bidang perubatan demi mengekang masalah kekurangan doktor di negara ini. – HIBGLAM
View this post on Instagram