MENGERTI keadaan kewangan bekas suami, penyanyi Adira Suhaimi memilih untuk tidak menuntut sebarang nafkah idah dan mutaah daripada Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu.
Ujar Adira atau pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi, 32, dia enggan menyusahkan bekas suaminya itu yang kini berada dalam situasi sukar.
Saya tidak mahukan apa-apa sebab saya tak nak susahkan lagi Datuk Red. Dia pun tengah ‘down’ (tertekan).
“Kita doakan sahaja yang terbaik untuk dia, kehidupan serta kerjayanya.
Saya percaya kalau rezeki dia murah, ada bahagian untuk anak-anak saya,” ujarnya kepada HibGlam.
Mahu semuanya harmoni, pelantun lagu Pujaan Hati itu berkata dia tidak menghalang bekas suaminya bertemu empat anak mereka atas persetujuan bersama.
Adira juga memberitahu, anak-anak masih belum mengetahui mengenai perceraian itu namun pasti berita tersebut akan didengar dalam tempoh terdekat.
Buat masa sekarang, anak-anak saya yang jaga tetapi saya tidak menghalang sekiranya dia ingin menjenguk, mengikut persetujuan kami sendiri.
“Saya tak beritahu anak-anak, cuma mereka mesti akan tahu sebab mereka pun sudah pandai membaca,” katanya.
Rumah tangga Adira dan usahawan Adira Suhaimi dengan usahawan, Datuk Red berakhir perceraian dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, pagi tadi.
Adnan yang dikenali sebagai Datuk Red, 46 melafazkan talak tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Gambak Barat, Rawang, Selangor.
Kes tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar pukul 9.45 mengesahkan lafaz tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.
Sebagai rekod, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2. – HIBGLAM