LIGAT mengatur rentak menyudahkan kerja mengikut jadual, Nadhir Nasar lega apabila semua komitmen dapat disempurnakan sebelum cuti panjang berhari raya, tempoh hari.
Demi meluangkan masa berkualiti tanpa gangguan sepanjang minggu pertama Syawal di Kuala Kangsar, Perak, penat jerih pelakon tinggi lampai itu bersengkang masa di set penggambaran ternyata berbaloi.
Sampai ke hari ini, tradisi ‘perang’ meriam besi pada malam raya tetap menjadi kenangan paling mengujakan dan tidak akan dilepas Nadhir setiap kali menyambut Syawal.
Apatah lagi, Kampung Talang yang menjadi destinasi raya pemilik nama lengkap Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 27, itu sememangnya terkenal dengan tradisi ‘perang’ meriam besi sejak zaman berzaman.
“Talang yang juga kampung ibu memang terkenal dengan permainan meriam mengikut formasi secara berpasukan, bahkan setiap satu mempunyai komander.
Kebiasaannya kami pulang beberapa hari sebelum raya untuk membantu buat persediaan akhir Syawal termasuk mengemas rumah dan paling utama sertai geng meriam Talang.
“Itulah yang menjadikan Aidilfitri di Kuala Kangsar unik, lebih-lebih lagi pada malam raya dengan berpuluh-puluh das dilepaskan menandakan keesokkan adalah hari raya,” kongsinya dalam nada teruja.
Menurut pelakon Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu, tradisi yang dimulakan sejak era 1930-an diteruskan generasi muda sehingga sekarang yang juga satu tarikan dinantikan ramai.
Penggunaan besi yang lebih selamat menggantikan buluh turut mencetuskan bunyi dentuman lebih kuat sekali gus menggamatkan lagi suasana.
“Berpuluh-puluh das tembakan meriam besi selama beberapa jam dilepaskam pada malam raya sebagai tanda permulaan sambutan Aidilfitri.
Saya antara orang yang paling tak sabar nak bermain meriam besi bersama orang kampung dan itu dah jadi aktiviti wajib setiap kali raya sejak dari saya kecil lagi,” tambahnya
Menambahkan rasa teruja, kepulangannya turut disambut teman-teman yang selalu merindukan peluang bertemu mata dengannya.
“Kawan-kawan di sini pun tak pilih bulu, sebaliknya melayan saya dengan baik. Hakikatnya aktiviti ini mengeratkan hubungan antara penduduk kampung dan anak rantau,” ujarnya.
Kongsi Nadhir lagi, Syawal pertama antara detik paling sibuk buat keluarganya apabila kediaman nenek menjadi lokasi tumpuan saudara-mara terdekat.
Bukan itu saja, selepas namanya dikenali ramai, peminat turut mengambil kesempatan mengunjungi rumah pusaka tersebut untuk berhari raya.
Melihat perkara itu sebagai rezeki, keluarganya mengalu-alukan kehadiran tetamu dengan menyediakan dua khemah lengkap juadah untuk semua orang menjamu selera.
“Awal-awal dulu, saya terkejut apabila ramai peminat muncul, boleh dikatakan macam kenduri dan tahun ini kami pasang dua khemah bagi menampung kehadiran tetamu.
Saya bersyukur orang kampung bagi sokongan dan tidak ketinggalan peminat yang datang dari kampung berhampiran selepas tahu saya beraya di sini.
“Terima kasih, kalau ada kekurangan dari segi layanan atau tak sempat menikmati juadah raya kami sekeluarga minta maaf,” ungkapnya memohon kemaafan.
Baca versi penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM