BERDIRI atas posisi sebagai figura popular bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi hampir seluruh aspek kehidupan berada dalam landskap media sosial.
Banyak yang perlu dipertimbangkan sebelum memuat naik sebarang perkongsian dalam gelanggang penuh ‘mata-mata’ tersebut agar tidak meninggalkan impak negatif kepada masyarakat.
Jika kena caranya, pasti akan ‘dilambung’ pujian tetapi sekiranya silap percaturan, kecaman bakal menghurung diri.
Itu yang bermain dalam fikiran pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid melihat situasi lazim anak seni mutakhir ini.
Baginya, pengguna dan kandungan dalam media sosial pada hari ini sangat menyeramkan. Semua yang berlegar dalam sistem media sosial menjadikan dirinya sangat berhati-hati.
“Saya bukan jenis aktif dalam media sosial. Tak suka meroyan atau kongsi perkara negatif kepada umum.
Kalau diri sedang bergelut dan berada dalam fasa terendah sekali pun, saya tetap akan tunjuk perkara positif sahaja.
“Kalau tengok saya senyap lama, memang tidak okeylah ketika itu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Hisyam menyifatkan media sosial hari ini terlalu toksik dan dia enggan menjadi individu yang menyemarakkan hal negatif.
Media sosial sekarang ini sudah terlalu banyak perkara negatif, jadi saya tak perlu nak tambahkan bara lagi.
“Sebagai orang popular, itu tugas saya iaitu memaparkan dan menyebarkan aura positif kepada masyarakat,” jelas bintang filem La Luna itu.
Bukan sahaja takut, emosi juga perlu kental sekiranya ingin menjadi seorang pengguna media sosial hari ini, terutama apabila dihujani dengan kecaman.
“Memang saya takut dan masalahnya kalau buat benda baik pun kena kecam juga.
Jadi, jiwa perlu kental kalau nak jadi public figure. Perlu sentiasa terima kecaman daripada orang.
“Saya berhati-hati nak muat naik hantaran media sosial lebih-lebih sejak muncul macam-macam isu kebelakangan ini sebab tak mahu beri ruang kecaman kepada orang ramai,” tutur pemilik nama penuh Hazmi Hisyam Abdull Hamid itu.
Berkongsi sedikit sambutan hari raya di Singapura baru-baru ini, Hisham menzahirkan rasa syukur dapat berkumpul dengan sanak-saudara yang sudah lama tidak bersua muka.
Raya di Singapura tak seperti di Malaysia yang disambut meriah selama sebulan. Di sana hanya cuti sehari iaitu pada hari raya pertama. Memang berbeza tetapi tetap meriah.
“Saya suka suasana riuh berkumpul dengan sanak-saudara, itu baru hari raya,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.
Dalam keseronokan menyambut Syawal, Hisyam mengakui sangat menitikberatkan soal kesihatan dan pemakanan keluarga bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Semua perlu kawal diri pada hari raya. Macam anak-anak pun saya akan jaga dan kawal. Kalau rumah pertama sudah minum air manis, rumah seterusnya hanya minum air kosong.
“Itu cara untuk kawal pemakanan supaya tidak ambil gula berlebihan pada hari raya.
“Tak mahulah lepas raya jatuh sakit dan sebagainya. Kalau tak kawal, mereka akan mudah jatuh sakit seperti demam dan sebagainya,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu. – HIBGLAM
Kapsyen
1- BERWAJAH budiman, pelakon tinggi lampai ini berharap terus diberi peluang untuk menjayakan lebih banyak watak antagonis.