SEWAKTU awal kemunculan sekitar lima enam tahun sudah, pemilik nama lengkap Sharifah Sophia Syed Abd. Rahman itu agak tersipu-sipu malu berdepan wartawan.
Masih basah dalam fikiran penulis, saat menemu bual wanita kelahiran Kuala Lumpur dalam satu sesi fotografi khas beberapa tahun lalu.
Setiap kali ingin menjawab soalan yang diajukan kepadanya, acapkali dia akan memandang pengurusnya, Nik Yasmin.
Berhati-hati dalam mengutarakan pendapat dengan situasi ‘hijau’ waktu tersebut, kerjaya seni lakonannya baru sahaja berkembang. Tambahan pula, penguasaan bahasa Melayunya ketika itu tidaklah selancar sekarang.
Tak menang tangan
Betul kata bidalan, jika tidak dipecah ruyung, mana boleh mencapat sagunya.
Kini, Sophia Albarakbah kian mengorak langkah sebagai antara pelakon yang menjadi buruan ramai pengarah dan penerbit.
Segala kontroversi dan sensasi yang ‘melekat’ pada kanvas seninya sebelum ini dijadikan sempadan serta pengajaran agar tidak lagi terpijak lumpur yang berpotensi mengotori jejak langkahnya.
Tidak menang tangan menerima tawaran lakonan sejak tahun lepas, terutama apabila diangkat sebagai Aktres Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35), Sophia, menjadi semakin gila kerja sehingga tiada waktu rehat.
Tahun lepas misalnya saya bekerja the whole year (sepanjang tahun). Rehat bulan Ogos sahaja.
“Shooting dan terus shooting sampailah beberapa minggu tamat drama Lelaki Itu. Selepas ini saya akan bersedia untuk drama From Saga with Love musim kedua yang akan menjalani penggambaran di Jepun bulan Mei nanti.
Bulan Ramadan ini saya berehat seketika. Berehat daripada sebarang penggambaran tapi kerja-kerja lain masih berjalan seperti biasa,” katanya lagi.
Kahwin dengan karier
Ditebak pertanyaan tentang perihal peribadi, Sophia tersenyum dan tenang menjawab tentang sama ada hatinya kini sudah terisi atau sebaliknya.
Jawabnya, dia tidak mempunyai masa untuk berasa sunyi atau melayani kesunyian kerana terlalu komited dengan pekerjaan.
Saya tak sunyi sebab ada famili, kucing dan kawan-kawan. Tiada masa pun nak terfikir tentang berasa sunyi.
“I’m married to my job (saya berkahwin dengan karier saya). Dan, saya sangat bahagia sekarang dengan keadaan ini.
“Kalau orang tanya sama ada saya masih solo, nampaknya begitulah. Hanya kerja dan ‘chill’ sahaja buat masa sekarang,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Meneruskan bicara tentang projek terbaharu drama rantaian Lelaki Itu yang menyaksikan dirinya melakonkan watak bernama Sharifah Bahiyah, Sophia teruja apabila projek tersebut mendapat sambutan hebat daripada penonton.
Setakat artikel ini ditulis (empat episod tayangan), Lelaki Itu sudah meraih tontonan 6.2 juta penonton dengan 90 juta capaian media sosial sekali gus menjadi drama nombor satu di platform TV3 (Tonton).
Alhamdulillah, sebenarnya pada mulanya watak Bahiyah ini kecil sahaja, namun entah bagaimana pengarah dan penerbit melihat potensi untuk watak ini dikembangkan, maka banyak juga ‘screentime’ saya dalam Lelaki Itu,” jelasnya.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! Online secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.