Sakit perut kronik, Shera Aiyob ‘buang’ ketumbuhan di perut

LAMA menanggung kesakitan, pelakon Shera Aiyob selamat menjalani pembedahan membuang cyst atau ketumbuhan sepanjang lapan sentimeter (sm), baru-baru ini.

Kata pemilik nama sebenar Nur Syahirah Aiyob, 37, ketumbuhan pada ovari yang berkemungkinan sudah pecah mengakibatkan pembedahan perlu dilakukan segera.

Dalam pukul 3.30 pagi saya sampai kecemasan, dimasukkan ke wad dan doktor cakap kemungkinan cyst dah ‘ruptured’ (pecah), dalam pukul 11 malam bermulalah episod bius dan perut dikerjakan.

“Tau-tau pukul 1.30 pagi saya dikejutkan dan dimaklumkan pembedahan sudah selesai,” katanya dalam hantaran Instagram.

Isteri kepada pelakon Zahiril Adzhim itu turut berkongsi detik awal ketika disahkan mempunyai ketumbuhan yang hanya sebesar 5 sentimeter pada 14 November tahun lalu.

“Saya terpaksa buat imbasan di klinik kerana mengalami sakit perut ketika itu. Selepas dapat tahu mengenai ketumbuhan itu, doktor di klinik minta saya buat rawatan lanjut di hospital.

Memang ada cyst dan diberi pilihan untuk makan ubat dulu, namun selepas pemeriksaan lagi pada 14 Februari lalu, doktor beritahu saiz cyst sudah hampir lapan sm dan cadangkan buat pembedahan,” ujarnya.

Menurut pelakon Lockdown 2 itu, awalnya dia merancang untuk menjalani pembedahan selepas hari raya tetapi perlu dipercepatkan atas faktor keselamatan.

Saya terpaksa menjalani pembedahan itu selepas sakit perut teramat sangat dan pembedahan dijalankan segera pada 12 Mac lalu.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang merawat sepanjang saya di hospital.

“Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan dan semoga semua juga mendapat keistimewaan dan keberkatan pada Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Buat masa ini Shera yang juga ibu kepada seorang cahaya mata itu dinasihatkan doktor agar berehat beberapa minggu sebelum mula bekerja.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok