4 selebriti mangsa selingkuh

DUNIA hiburan tanah air sedang hangat dengan kisah kecurangan pelakon Aliff Aziz yang ditangkap khalwat bersama pelakon wanita, Ruhainies sehingga meletakkan suhu rumah tangga bersama Bella Astillah dalam fasa berjaga-jaga.

Di Korea Selatan, kontroversi serupa dikatakan pernah berlaku membabitkan beberapa selebriti yang dicurangi pasangan sendiri.

Meskipun idola K-pop dikenali dengan perahsia mengenai isu peribadi, ada sebilangan pula sangat terbuka berkongsi kisah hati dengan peminat.

Sudah adat hubungan ada perang panas dingin, Daebak menyenaraikan beberapa artis K-pop yan pernah berkongsi hal dalam kain termasuk dicurangi pasangan.

Hyosung

MENGEJUTKAN! Penyanyi Hyosung mendedahkan separuh daripada bekas-bekas teman lelakinya merupakan kaki penipu.

Pemilik nama lengkap Jun Hyo-seong itu berkongsi kisah menjadi saksi kecurangan dan penipuan bekas teman lelakinya.

Ujar Hyosung, kemusykilan mengenai sikap kekasihnya dapat dihidu apabila dilihat tidak lekang dengan telefon bimbit.

Apabila disoal, bekas teman lelakinya memaklumkan sedang berhubung dengan kawan lelaki, tetapi akhirnya tembelang yang cuba disimpan rapi pecah berkecai.

Ailee

PENYANYI Ailee berdepan episod kecewa apabila mendapati bekas teman lelakinya berlaku curang menjelang kejutan hari jadi.

Pada hari ulang tahunnya, saya beritahu tidak dapat hadir ke majlis sambutan kerana ada kerja, namun sebenarnya saya sudah dalam perjalanan.

“Apabila sampai, saya dapati bekas teman lelaki sedang bermesra dengan wanita lain,” dedah Aille dalam sebuah temu bual.

Dalam masa sama, bekas teman lelakinya cuba untuk memberikan penerangan tetapi Ailee terlalu kecewa dengan apa yang dilihat.

Henry Lau

PENYANYI Henry Lau sebenarnya tidak lagi mempunyai teman wanita sejak ditipu cinta hatinya semasa menetap di Kanada.

Lebih menyedihkan, hubungan yang dibina selama tujuh tahun berakhir begitu sahaja selepas wanita itu menjalin cinta dengan kawan baik ahli Super Junior itu sendiri.

Akibat kegagalan percintaan yang diharapkan berkekalan sehingga berumah tangga, Henry berdepan trauma dan enggan menjalin cinta dengan mana-mana wanita sehingga kini.

Jiyoon

SEMASA debut bersama kumpulan 4Minute, penyanyi Jiyoon akui pernah bercinta dengan seorang lelaki dan mereka sering bersama.

Namun, dia akhirnya mendapat tahu bahawa lelaki tersebut seorang ‘playboy’ (kaki perempuan) yang terkenal.

Sewaktu bersama Jiyoon, rupa-rupanya lelaki itu mempunyai dua lagi kekasih. Hubungan mereka bukan lagi diganggu orang ketiga sebaliknya melibatkan empat penjuru perasaan.

Kecewa dipermainkan, Jiyoon tekad enggan lagi jatuh cinta.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok