ENGGAN membiarkan dirinya terus dihentam dan dibenci ramai, pelakon Ruhainies yang ditangkap atas tuduhan berkhalwat bersama Aliff Aziz pada awal pagi semalam membuka mulut menyangkal beberapa perkara dalam berita penangkapan tersebut sebagai tidak tepat.
Menerusi hantaran yang dikongsikan pemilik lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, dalam InstaStory, pelakon cantik itu dengan rendah diri ingin menepis beberapa dakwaan yang ditulis dalam laporan berita tentang kejadian tangkap khalwat melibatkan dirinya sebagai tidak benar.
“Assalamualaikum. Bagi menjawab segala spekulasi atas apa yang sedang diperkatakan dalam semua platform sosial media, saya dengan rendah diri ingin nyatakan di sini, ada beberapa kenyataan yang kurang tepat telah tersebar,” tulisnya.
Menerusi hantaran tersebut, Ruhainies bagaimanapun tetap memohon maaf atas apa yang terjadi sehingga sehingga menimbulkan kekecohan dan namanya diperkatakan ramai.
Pada masa sama, pelakon itu turut berharap agar segala spekulasi yang dikaitkan dengan dirinya dapat dihentikan sehingga dia sendiri memberi kenyataan bagi mengelak kekeliruan.
“Walau bagaimanapun, saya ingin memohon maaf kepada semua atas apa yang terjadi.
“Saya juga berharap spekulasi ini dapat dihentikan sehingga saya memberikan kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham. Insya-Allah,” tulisnya.
Sejak awal pagi semalam, kecoh apabila media melaporkan Aliff sebagai selebriti berstatus suami orang dan Ruhainies dilaporkan dicekup berkhalwat dan bersekedudukan di sebuah kondominium mewah.
Tangkapan yang dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) difahamkan berdasarkan maklumat orang awam.
Dua selebriti yang sama-sama terlibat dalam penggambaran sebuah drama berjudul Terjerat itu juga sudah dibebaskan dengan jaminan sekitar 2 petang (Sabtu), sementara menanti pendakwaan pada satu tarikh lain dijangka dalam tempoh terdekat. – HIBGLAM