TIDAK bersendirian berhadapan kejutan kes khalwat suaminya dengan seorang pelakon wanita, Bella Astillah meraih sokongan padu netizen yang ‘berkampung’ dalam Instagram miliknya.
Rata-rata peminat yang mengikuti perkembangan rumah tangga pasangan sensasi itu meminta isteri kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz itu terus kuat berdepan dugaan.
Biarpun tidak memberikan respons terhadap serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) awal
pagi tadi, kehadirannya sekali gus mengesahkan Aliff sebagai selebriti yang dicekup bersama seorang lagi pelakon wanita.
Ini dikuatkan lagi dengan kehadiran Bella di pejabat agama bersama adik, Didi Astillah serta teman mereka, Adira Suhaimi.
Didi juga menjadi individu mengesahkan abang iparnya sebagai pelakon yang dicekup dalam serbuan tersebut.
Menerusi semakan Kosmo! Online, netizen dilihat memberikan sokongan padu terhadap pemilik nama lengkap Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, itu.
Rata-rata meninggalkan nasihat serta semangat memintanya jangan lagi memberi muka terhadap insan yang tidak setia.
Tidak kurang juga menyelar perbuatan Aliff yang tidak menghargai peluang kedua selepas beberapa kali ‘kantoi’ sebelum ini.
Peminat juga menzahirkan perasaan kasihan terhadap dua permata hati pasangan terbabit yang menjadi mangsa keadaan andai kes khalwat itu benar-benar berlaku.
“Jika betul berita ini saya doakan yang baik-baik untuk Bella, semoga kita semua dijauhi lelaki macam tu. Sekali curang, selamanya curang,” tulis netizen.
“Kadang melepaskan beban adalah yang terbaik, dah tak perlu susah hati. Fokus pada anak-anak saja,” kata pemilik akaun media sosial lain.
“Moga kuat Bella. Orang sibuk daftar anak sekolah, dia sibuk check-in sana sini. Posting Bella kebelakangan ini bagi petanda sesuatu,” luah seorang lagi peminat.
Terdahulu, media melaporkan tangkapan dibuat JAWI adalah berdasarkan maklumat orang awam yang mendakwa sudah beberapa kali melihat Aliff memasuki rumah pelakon wanita terbabit.
Menurut laporan, agensi berkenaan memulakan operasi pada pukul 10.30 malam dan mengetuk pintu rumah serta menunggu hampir tiga jam.
Pihak JAWI terpaksa meminta bantuan bomba namun Aliff akhirnya akur selepas dimaklumkan pintu rumah tersebut akan dipecahkan jika tidak memberi kerjasama.
Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh edah.
Pasangan sensasi itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3. –HIBGLAM