IKON fesyen, Fyza Kadir menyifatkan keputusan keluar dari bidang lakonan adalah sebagai langkah paling tepat pernah dibuatnya dalam hidup.
Kata Fyza atau nama lengkapnya Norhafezzah A. Kadir, 38, dia sedar tidak berbakat sejak awal cubaan menceburi dunia lakonan yang ditunjukkan penerbit sensasi, David Teo.
Saya cuba masuk dalam dunia lakonan apabila David Teo puji saya ada rupa dan boleh ‘jual’. Ketika itu saya fikir tak salah mencuba dan mula menyedari saya tiada bakat lakonan.
“Setiap kali menyelesaikan sesuatu babak, pastu saya akan menangis kerana bidang ini sangat sukar. Saya juga sedih kerana tidak mampu berikan yang terbaik.
Jadi saya rasa cukup setakat itu sahaja. Saya pula pemalu dan suara susah keluar,” katanya kepada Hibglam baru-baru ini.
Ditanya mengenai perkenalannya dengan Daivid, nama Fyza dicadangkan seseorang dan kemudian, dia terus aktif dalam dunia lakonan selama setahun.
Ada orang cadangkan nama saya kepada David dan dia panggil saya datang ke pejabatnya.
“Awal-awal saya sudah maklumkan bahawa saya tiada bakat berlakon tetapi sehari selepas berjumpa, saya dapat tawaran lakonan.
Tak sangka pula dapat tawaran back to back. Ketika itu saya fikir, apa sudah jadi tetapi keputusan sudah dibuat dan harus diteruskan,”ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Fyza menafikan kariernya terpaksa ditamatkan kerana mendirikan rumah tangga.
“Suami saya tidak menghalang untuk meneruskan dalam bidang seni tetapi saya sedar saya tiada bakat.
“Jadi, saya ambil keputusan untuk tumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Fyza pernah membintangi beberapa naskhah seperti Nongkrong, Ajiboy, Pe3 dan Senario Ops Pocot. – HIBGLAM