‘Mungkin Syamsul masih merajuk, saya doakan yang terbaik’

SUDAH beberapa tahun Syamsul masih tidak bertemu dan menghubungi saya.”

Demikian luah penerbit Datuk Yusof Haslam mengenai putera sulungnya, sutradara Syamsul Yusof yang sudah lama tidak pulang bertemunya dan isteri, Datin Patimah.

Yusof, 70, berkata, Syamsul mungkin sibuk dengan penggambaran filem terbaharu sehingga tidak berkesempatan menghubunginya.

“Mungkin dia sibuk dengan penggambaran filem Original Gengster yang dijangka ditayang pada tahun ini.

Apa pun, saya dan ibunya sentiasa mendoakan yang terbaik. Tiada ibu bapa yang mahu melihat kejatuhan anaknya,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran Al Aqsa Carpets Factory Outlet milik pelakon Dazrin Kamaruddin, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Yusof tidak menolak kemungkinan Syamsul berkelakuan sedemikian kerana terkilan dengan isu yang berlaku antara mereka.

Namun, sebagai bapa dia tidak akan melakukan perkara serupa terhadap Syamsul sebaliknya terus berdoa agar kemelut antara mereka segera berakhir.

Tak mengapalah, sebagai orang tua saya perlu berfikiran matang.

“Sebagai ayah, apabila anak bersikap sebegitu saya tak boleh melakukan hal sama. Kata isteri saya, kita serahkan kepada Tuhan.

Saya rasa tiada anak yang tak sayangkan ibu bapanya, mungkin dia masih merajuk atau terkilan. Ramadan pun semakin hampir, saya sentiasa doa yang terbaik,” ujarnya.

Kata pelakon drama Gerak Khas itu lagi, dia tidak boleh komen berlebihan kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan selain mahu menjaga hati isteri tercinta.

Kita tak boleh ubah takdir. Saya tak mahu komen lebih-lebih takut ada pihak merajuk selain mahu jaga hati semua orang termasuk isteri.

“Saya tak mahu hubungan dengan isteri jadi keruh hanya kerana benda ini. Semua yang berlaku masih baru dan harap ada penyelesaian.

Sebagai anak, harus juga berfikir sendiri. Tepuk dada tanya selera,” katanya lagi.

Terdahulu, Yusof pada tahun lalu mendedahkan Syamsul sudah lama tidak pulang ke rumah tanpa mengetahui punca sebenar.

Syamsul pada Januari tahun lalu menjadi sorotan ramai apabila mengakui sudah bernikah dengan isterinya, Ira Kazar di Thailand dan bercerai dengan pelakon Puteri Sarah Liyana pada 13 Jun dengan talak satu.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok