Marcell tak akan ‘pencen’ menyanyi

SELAGI diberikan kudrat, penyanyi popular Indonesia Marcell tidak akan bersara daripada dunia nyanyian meskipun usia mencecah 90 tahun suatu hari nanti.

Menurut Marcell atau Marcell Siahaan, 46, tiada istilah pencen dalam kamus hidupnya sebagai penyanyi apatah lagi meletakkan sebarang sasaran usia untuk bersara.

Ada segelintir individu meletakkan sasaran dalam hidup mereka untuk berhenti daripada melakukan sesuatu namun itu bukan cara saya. Sebagai penyanyi, tiada istilah pencen untuk saya.

“Kerjaya nyanyian itu berbeza melainkan kalau saya jadi ahli politik yang memang ada waktu bersara. Sebagai penyanyi, selagi hayat dikandung badan, sampai saya ‘dipanggil’, pada waktu itulah saya berhenti.

Risau jika tetapkan sasaran, akan diberi dugaan sakit pula pada usia tertentu kemudian semua rancangan itu pasti terganggu. Jangan ada ‘target’,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media Konsert Trio Terhebat Vol. 1 di sini, semalam.

Dalam pada itu, dia yang popular menerusi lagu Takkan Terganti masih mengambil kelas vokal bagi memantapkan lagi teknik nyanyian meskipun sudah lebih tiga dekad bergelar penyanyi.

“Saya baru selesai menjalani sebuah kursus nyanyian. Sebelum ini saya sempat ambil jurusan menjadi penyanyi tenor atau vokal klasikal.

Inisiatif itu hanya untuk memantapkan teknik vokal supaya mampu menyanyi sampai umur 90 tahun.

“Saya mahu pastikan suara ini kekal bagus kerana banyak penyanyi antarabangsa seperti Tom Jones atau sesiapapun yang usianya sudah lanjut tapi masih boleh menyanyi dengan nada sama, tidak berubah,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai konsert Trio Terhebat anjuran Icon Entertainment itu, dia teruja bakal sepentas dengan dua lagi penyanyi hebat Indonesia iaitu Once Merkel dan Bams yang juga bekas vokalis kumpulan Samsons.

Tiket konsert yang bakal berlangsung pada 4 Mei depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan mula dijual bermula 23 Februari menerusi ticket2u.com.my. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok