TUAH ternyata berpihak kepada penyanyi cilik Iman Darwisy, 13, apabila bakatnya mula disedari ramai berikutan kebanyakan video nyanyiannya tular di media sosial.
Popular dengan nyanyian semula lagu Dawai, dia gembira apabila video berkenaan menyerlahkan namanya sehingga menarik perhatian beberapa pihak pengurusan untuk merencana kerjaya seninya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana banyak pihak sudah nampak bakat yang ada pada diri saya. Sudah pasti saya gembira dan mahu melakukan yang terbaik untuk bergelar penyanyi.
“Kalau boleh memang saya mahu berjaya dalam bidang nyanyian. Namun, fokus utama saya tetap pelajaran dan berharap dapat memberikan fokus kepada kedua-dua bidang,” katanya.
Menurut Iman, bakatnya sudah dihidu orang tuanya sejak kecil lagi malah dia pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sehingga diangkat sebagai juara Bintang Kecil RTM 2023 peringkat Wilayah Persekutuan.
Kemudian, dia berpeluang berentap dalam pertandingan Bintang Kecil RTM dan berndap dengan wakil negeri lain.
“Walaupun tidak menang, saya gembira kerana itu pengalaman pertama saya bertanding di pentas lebih besar. Banyak pelajaran dan pengalaman baharu saya terima sepanjang menyertai acara ini.
“Sudah pasti saya berterima kasih kepada RTM yang menyokong dan menyuntik semangat saya sehingga hari ini,” katanya yang sudah selesai merakamkan lagu baharu untuk dijadikan tema drama Panggil Aku Dahlia terbitan Jaja Ishak Channel Sdn Bhd.
Selain itu, anak sulung daripada dua beradik ini juga teruja apabila diundang menghiburkan penduduk Pahang sempena Moh Karnival Makmur yang bakal berlangsung pada pada 16, 17 dan 18 Februari ini di Dataran Indera Pahlawan Chenor, Maran.
Bagi Iman, undangan itu cukup istimewa kerana akan menjadi pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke Maran, Pahang bagi menghiburkan masyarakat setemat dalam Malam Kebudayaan pada 16 Februari ini.
Bakal berkongsi pentas dengan kumpulan nasyid In-Team, Iman pasti akan menghayati erti kasih sayang dan ihsam sesama manusia melalui lagu-lagu yang bakal dipersembahkan nanti.
“Ini adalah kali pertama saya terlibat dengan karnival seperti ini dan pastinya teruja melihat persembahan lain seperti alunan lagu rakyat, qasidah dan zapin Arab.
“Pihak penganjur pun dah sediakan banyak aktiviti menarik sepanjang tiga hari acara berlangsung. Saya harap, orang Pahang dan kawasan sekitar tidak melepaskan peluang untuk hadir,” tambahnya lagi.
Menyentuh mengenai penganjuran Moh Karnival Makmur pula, pelbagai aktiviti menarik disediakan penganjur untuk pengujur yang hadir. Lebih menarik, ada banyak hadiah disediakan untuk pemenang bertuah.
Puluhan reruai jualan juga dibuka bukan sekadar makanan dan minuman tetapi juga produk tempatan seperti kraf tangan dan banyak lagi.
Moh Karnival Makmur akan dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 17 Februari, bermula jam 10.30 pagi di lokasi sama.
Pelbagai agensi kerajaan turut membuka kaunter bagi berkongsi maklumat terkini perkhidmatan disediakan buat orang ramai.
Kerajaan Pahang juga membuka pendaftaran Bantuan Prihatin Pahang untuk bayi yang baru lahir, pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi dan mereka yang layak bagi menyalurkan bantuan. – HIBGLAM