Anak diejek bapa makan duit anak yatim, Ali Puteh kecewa

ANAK saya diejek bapanya makan harta anak yatim.”

Demikian perkongsian pelawak Ali Puteh yang mengakui sedih apabila anaknya turut menjadi mangsa kecaman netizen berikutan kemelut dirinya dengan kakak ipar, Nor Hidayah Amzah yang masih berlarutan sehingga ke hari ini.

Ali Puteh atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 35, bekata, perniagaannya turut menjadi bahan sindiran segelintir individu yang  menuduhnya menggunakan duit anak yatim.

“Bayangkan anak saya pergi sekolah orang ejek ‘bapa kau makan harta anak yatim’.

Saya jual sambal elok-elok, tak kacau orang dan berniaga dengan isteri pun masih ada kata saya pakai duit anak yatim.

“Orang tak faham sebab itu mereka bercakap. Itulah saya kata, berhenti berbicara kerana perkara tersebut salah,” katanya dalam siaran langsung TikTok.

Begitupun, Ali bersyukur dikurniakan isteri yang memahami dan mampu menenangkan dirinya saat berdepan detik sukar.

Bahkan, dedah adik kepada Allahyarham Abam Bocey itu, orang rumahnya yang banyak membantu menjelaskan bayaran saman kepada Hidayah.

Saya menangis di bucu katil. Dia tenangkan saya dengan berkata tak mengapa dia ada. Kalau tak cukup duit, dia cakap boleh gadai barang kemas.

“Dia juga ajak saya jual keretanya,” ujar Ali Puteh dalam nada sebak.

Menerusi siaran langsung tersebut, pelawak terbabit menjelaskan tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai bapa saudara kepada anak arwah Abam iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey kerana menghormati keputusan mahkamah.

“Orang cakap anak arwah itu tanggungjawab saya, anak saudara saya.

Saya dapat surat hadanah dari mahkamah, kami tidak boleh nak ambil anak itu tanpa sebab,” jelasnya.

Sebelum ini, Ali bertungkus-lumus melangsaikan bayaran saman terhadap Hidayah dengan pelbagai cara termasuk menjual motosikal dan menggunakan hasil penjualan sambal.

Terdahulu, pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan terhadap wanita itu di Instagram, dua tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok