Malaysia lokasi pilihan video muzik K-Pop

KELUARLAH apa sahaja lagu pasti akan menjadi tumpuan peminat tegar muzik K-pop seluruh dunia yang mengikuti setiap naskah berkualiti dari Korea Selatan.

Selain lagu, ramai juga ternanti-nanti pelancaran video muzik bagi menyaksikan kehebatan suntingan yang boleh dijadikan inspirasi terutama bagi penggiat seni.

Namun, siapa sangka ada beberapa idola K-pop yang pernah menjayakan penggambaran video muzik di Malaysia.
Kali ini, Daebak merangkumkan video muzik yang pernah dirakamkan di negara ini tetapi kurang diketahui ramai.

Super Junior (Dancing Out)

PADA 2006, kumpulan Super Junior melancarkan lagu baharu berjudul Dancing Out berserta video muzik.

Namun, siapa sangka Kuala Lumpur menjadi lokasi pilihan Super Junior merakamkan video muzik.

Mereka telah melakukan penggambaran di Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Putrajaya sebagai latar belakang video muzik tersebut.

Meskipun cuaca panas terik, mereka tetap dapat menyelesaikan tarian dalam video muzik tersebut dengan sempurna.

GOT7 (A)

 

NAMPAK seperti di Amerika Syarikat tetapi rupa-rupanya kumpulan GOT7 menjalani penggambaran video muzik A di Malaysia.

Antara lokasi yang dipilih menjadi latar belakang video muzik itu adalah sekitar Seksyen 13 Shah Alam dan Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Menariknya, dalam video muzik tersebut turut diselitkan beberapa perkataan makanan tempatan iaitu mihun, sup dan
laksa.

B.A.P (Crash) 

HAMPIR 10 tahun lalu, kumpulan idola K-pop iaitu B.A.P menjalani penggambaran video muzik lagu Crash di taman tema air Sunway Lagoon. 

Dalam video muzik tersebut, kesemua ahli B.A.P kelihatan sedang berseronok dalam pusat reaksi keluarga selain zoo  di lokasi  sama.

Siapa sangka Video  tersebut adalah montaj kenangan buat mereka yang telah membuat persembahan di MTV World Stage Live in Malaysia.

Byul (Bikini)

PENYANYI Byul memilih beberapa lokasi popular di Malaysia untuk diselitkan dalam video muziknya yang berjudul Bikini.

Menerusi pemerhatian, isteri kepada ahli Running Man, Haha itu singgah di Pulau Langkawi, Petaling Street, Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur International Airport (KLIA), KLCC, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.

Secara tidak langsung video muzik berkenaan membantu mempromosikan keindahan dan kehebatan Malaysia ke mata dunia.

Boys Republic (L.I.U)

 

BIARPUN kurang dikenali, kumpulan Boys Republic pernah meledak pada 2013 dengan lagu berjudul L.I.U.

Pada tahun sama, mereka mengadakan siri jelajah membabitkan pertemuan dengan peminat di beberapa negara.

Pada kesempatan itu, mereka merakamkan momen perjalanan bertemu peminat di Kuala Lumpur dan menjadikannya montaj dalam video muzik.

Rupa-rupanya, video muzik tersebut adalah hadiah Krismas selain cara menghargai peminat yang menyokong karier mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok