Julia Farhana berputih mata gagal subjek Statistik

GARA-GARA tersilap menghantar tugasan universiti, pelakon Julia Farhana berputih mata apabila buat pertama kali dalam hidupnya gagal subjek Statistik yang  merupakan mata pelajaran kegemarannya. 

Julia atau nama sebenarnya, Julia Farhana Marin, 30,  memaklumkan bahawa keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan berkemungkinan menjadi antara punca dirinya leka dalam menghantar tugasan sehingga mengakibatkan kegagalan. 

Buat pertama kali saya gagal peperiksaan sebab salah hantar tugasan. Masa dapat keputusan saya cakap ‘mustahil’ kerana subjek Statistik adalah mata pelajaran kegemaran saya. 

“Saya ingat dengan jelas keadaan masa hari hantar tugasaan, saya sedang dalam proses pemulihan influenza dan tersalah kepilkan tugasan. Saya juga tidak boleh buat rayuan. 

“Saya pergi pejabat hari ini, dekat bahagian komen tulis ‘pelajar salah hantar fail ‘. Pengsan!,” katanya menerusi Instagram. 

Akibat kecuaian tersebut, keputusan peperiksaan isteri kepada Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum itu merosot atau jatuh mendadak.

“Jadinya, GPA (Purata Nilai Gred) saya jatuh. Disebabkan itu saya tidak akan percaya diri sendiri kalau sakit lagi. 

Saya akan minta tolong orang lain yang hantarkan tugasan. Kesilapan saya sendiri dan jadikan pengajaran untuk diri sendiri,” ujarnya lagi. 

Sehubungan itu, pelakon asal Sabah itu akan menitikberatkan isu kesihatan, lebih-lebih lagi ketika menyiapkan segala pekerjaan walaupun sebelum ini dia tidak pernah gagal menghantar tugasan tepat pada waktunya.

“Ini menunjukkan kesihatan sangat penting. Sebelum peperiksaan atau buat tugasan doa banyak-banyak dijauhkan daripada segala penyakit. 

“Boleh jadi paling cuai jika sakit. Saya pula tidak pernah lambat siapkan tugasan. Reda,” tutur pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu. 

Difahamkan, Julia kini sedang melanjutkan pengajian peringkat  Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok