Sokong mufti, batalkan konsert Ed Sheeran – Ketua Pemuda Pas

KETUA Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menyokong pandangan disuarakan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor agar konsert penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran yang dijadualkan berlangsung 24 Februari ini dibatalkan.

Mohamed Sukri berkata, kerajaan yang memerintah Malaysia seharusnya menghormati fatwa dan pandangan para mufti yang sudah pasti mengambil kira hukum-hakam berkaitan syarak demi kebaikan umat Islam sejagat.

Apa yang sangat dikesali, kerajaan langsung tidak mempunyai sensitiviti dan sangat jinak untuk membiarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang jelas mempamerkan sokongan mereka terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

“Mengapa mufti sangat risau dengan penganjuran konsert ini? Sudah tentu ada sebabnya,” katanya menerusi muat naik status panjang lebar menerusi aplikasi X.

Ahli politik pembangkang itu turut menyifatkan kedatangan pelantun lagu Photograph itu sebagai sesuatu yang amat berbahaya buat rakyat negara ini disebabkan pernah terpalit dengan dokongannya terhadap budaya songsang.

Ed Sheeran merupakan individu yang jelas menyokong budaya songsang iaitu LGBT.

“Dia pernah membalut dirinya dengan bendera pelangi yang cukup sinonim dengan kelompok tersebut sewaktu mengadakan konsert sebelum ini. Cukup bahaya,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, ramai penggguna platform X tidak bersetuju dengan pandangan individu terbabit memandangkan rakyat negara ini berbilang bangsa.

“Malaysia ada berbilang kaum. Tiada orang paksa hang kena beli tiket.

Negara ini negara majmuk dan berkepelbagaian. Ada yang suka Ed Sheeran, ada pula yang sebaliknya.

“Yang peminat boleh pergi tengok konsert dia. Yang tak berminat boleh buat aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Semua orang boleh buat pilihan masing-masing,” demikian antara pendapat dilontarkan netizen.

Penganjuran konsert Ed Sheeran berjudul The +–=÷× Tour pada 24 Februari depan akan diteruskan seperti yang dijadualkan buat masa ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya juga telah merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

Pada masa sama, Mufti Pulau Pinang memohon kementerian diterajui Fahmi mengambil kira dan menghormati pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok