PELAKON Ika Nabella menempelak sikap segelintir individu yang sewenang-wenangnya menghina golongan ibu bapa membawa kereta sorong bayi di dalam lif pusat beli belah.
Kata pemilik nama lengkap Ika Nabila Abdul Rahim, 34, sikap mereka terutama golongan muda masa kini amat membimbangkan apabila hilang perasaan timbang rasa terhadap insan lain terutama, golongan ibu dan anak kecil.
“Jangan meludah ke langit adik. Risau kakak dengan pemikiran sesetengah anak muda sekarang, seolah-olah menongkat ke langit.
Atau mungkin manusia seperti ini merancang untuk mengurangkan populasi dunia. Siapa tahu?” katanya dalam perkongsian Instagram.
Sebelum ini, tular perkongsian seorang individu yang meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan ibu bapa membawa kereta sorong bayi ke dalam lif di Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Dalam hantaran tersebut, individu terbabit beranggapan ibu bapa sepatutnya mendukung bayi mereka, bukan menyempitkan ruang dengan membawa masuk kereta sorong berkembar di dalam lif dan ruang berjalan dalam pusat membeli-belah.
Ika yang juga ibu kepada seorang cahaya mata menzahirkan kekesalan dengan pandangan sedemikian selain berharap semua pihak lebih empati dan bertoleransi dengan persekitaran.
Pada masa sama, pelakon yang terbabit dalam arena seni sejak berusia 17 tahun lalu itu meminta ibu bapa memberikan pandangan berhubung isu yang seakan-akan tiada kesudahan itu.
“Mungkin ibu bapa boleh beri sepatah dua kata? Yang paling bagus ya sebab kita kan terpaling ibu bapa,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen pula, rata-rata netizen turut menyelar kelancangan individu dimaksudkan yang hakikatnya tidak sensitif serta peka terhadap keperluan lif untuk golongan memerlukan.
Paling penat tengok yang guna lif semua kaki sihat walafiat tak ada ‘stroller’ pun, lagi sakit hati tengok pasangan yang pegang-pegang tangan sambil sengih-sengih bila lif terbuka,” kata seorang pengikutnya.
“Dia belum rasa ada anak sebab itu angkuh sangat bercakap,” ulas pemilik satu akaun laman sosial lain.
Sebelum ini Ika pernah menyuarakan isu sama apabila segelintir individu masih tidak cakna dengan kemudahan berkenaan yang sewajarnya mendahulukan warga emas dan ibu hamil.
Bukan kali pertama, Ika yang juga bekas peserta Akademi Fantasia pernah menegur sikap sebilangan anggota masyarakat yang seharusnya mengutamakan penggunaan eskalator dan lif di mana-mana premis untuk golongan memerlukan terutama, warga emas dan ibu hamil. – HIBGLAM