Tergugat? Saya tiada masa fikir hal sampah – Elly Mazlein

PELAKON dan penyanyi, Elly Mazlein enggan memgambil pusing dengan dakwaan mengatakan dirinya kerap menenggelamkan rakan pengacara lain apabila mengendalikan sesebuah program.

Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, Elly, 44, berkata isu tersebut tidak sepatutnya timbul sebaliknya, boleh dibincang ketika sesi membaca skrip selain menegaskan kehadirannya sebagai pengacara bukan untuk mencabar apatah lagi bersaing dengan mana-mana pihak.

“Sebagai kawan-kawan, sepatutnya boleh berbincang sebab ada bacaan skrip, jadi jangan syok sendiri sebab bukan acara kau seorang tetapi bersama. Itu sebabnya kita jangan shaking (tercabar).

“Jangan ilusi macam saya nak lebih ke apa tidak. Kena ingat bahawa program tersebut dimiliki oleh syarikat dan kita ada kerja, sepatutnya buat sebaik mungkin.

Malas hendak bergaduh sebab rezeki sebab malu ditambah pula sesama orang Islam. Nasihat saya, jangan tercabar, itu sahaja,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran single baharunya berjudul Sayap di sini, semalam.

Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi memberitahu, dia tidak kisah sekiranya ada pihak mahu memboikot dirinya disebabkan prinsipnya kerana sentiasa percaya rezeki sudah diatur oleh Tuhan.

Bintang drama Kampung People itu juga sempat menyindir segelintir individu supaya tidak tergugat dan lebih memilih bekerja dalam keadaan tenang daripada menyerabutkan fikiran dengan isu ‘sampah’ sebegitu.

“Saya lebih selesa memikirkan tentang ketenangan dan positiviti serta tiada masa nak fikir tentang hal sampah.

“Sejujurnya selepas menang anugerah Pengacara Paling Popular (ABP35) tahun lalu, saya dapat merasakan kesukarannya. Saya lahir dalam industri ini bukan sebagai pencabar.

“Kita sama-sama mencari rezeki dan ingin kerja dengan ikhlas. Kalau mahu bergaduh pasal rezeki, saya memang akan tarik diri,” ujarnya.

Tahun lalu, Elly mengejutkan ramai apabila menarik diri sebagai hos program All Stars Gegar Vaganza.

Sehingga hari ini, Elly tidak pernah berkongsi secara lanjut mengenai punca penarikan diri tersebut dan hanya memaklumkan keputusan itu diambil kerana mahu memberi keselesaan kepada orang lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok