“SAYA hanya mencorakkan skrip, sekadar buat kerja saya.
Demikian respons pelakon jelita, Fasha Sandha yang bersedia menerima kritikan netizen apabila sering disua naskhah yang sarat kontroversi dan melibatkan aksi ranjang.
Ujar pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu, dia hanya memenuhi kehendak skrip yang diamanahkan sutradara kepadanya selain menyifatkan watak Datin Safieya dalam Rampas Cintaku 2 sebenarnya sarat pengajaran.
“Setiap naskhah dihasilkan dengan pengajaran. Tugas saya adalah untuk menyampaikan mesejnya.
Saya yakin babak panas dalam drama itu kelak akan diperkatakan tetapi terpulang kepada penonton, terima dari sudut positif atau negatif.
“Yang penting saya harapkan cerita ini hits dan fenomena seperti musim pertama,” kata Fasha kepada HibGlam.
Tidak kisah dilabel lapar perhatian kerana nama meledak disebabkan adegan sedemikian, isteri kepada pelakon Aziz itu terbuka menerima pandangan umum dan menganggap tohmahan dilempar sebagai lumrah pekerjaannya.
Saya okey sahaja, tak ada masalah dengan label yang orang berikan. Mereka bebas berkata apa pun.
“Saya hanya mencorakkan skrip, sekadar buat kerja saya. Saya buat bukan kerana orang lain, tapi untuk diri dan kerjaya saya.
Datanglah sebanyak mana label yang orang berikan, saya tetap jadi diri sendiri.
“Lakonan periuk nasi saya sejak umur 18 tahun lagi. Saya seronok dengan kerjaya ini. Terpulang kalau nak label saya pelakon daring. Saya tak akan sesekali melenting kerananya,” ujarnya panjang lebar.
Terdahulu, menerusi naskhah sama, Fasha pernah dikecam kerana terlalu berani melakukan aksi ranjang meskipun berstatus isteri orang.
Melakukan segala adegan secara profesional, aktres berusia 39 tahun itu bersyukur suaminya tidak kisah seterusnya memberikan lampu hijau. – HIBGLAM