PENYANYI Indonesia, Fadhilah Intan mengakui mula dikenali di negara sendiri selepas lagu nyanyiannya, Dawai dibawakan semula ramai penyanyi Malaysia sehingga tular sejak Oktober tahun lalu.
Kata wanita asal Surabaya itu, lagu yang menjadi runut bunyi filem Air Mata Di Ujung Sajadah mencetuskan impak positif terhadap karier nyanyian di kedua-dua negara.
“Saya akui kerana Dawai yang dijadikan lagu ‘cover version’ membolehkan saya selaku penyanyi asal juga dikenali lebih-lebih lagi di Malaysia, namun perubahan ketara juga nampak di Indonesia sebaik lagu ini viral.
Kalau di Indonesia, sebelum Dawai popular, ramai orang meminta untuk bergambar dengan pelakon filem Air Mata Di Ujung Sajadah sahaja.
“Sekarang ada yang semakin kenal saya. Alhamdulillah, ini berkat sokongan peminat selain penyanyi Malaysia yang menularkan lagu ini,” katanya ketika sidang media konsert Wali Cari Jodoh & Dawai In Penang, semalam.
Dedah penyanyi berusia 25 tahun itu, impak populariti lagu ciptaan Hendro Djasmoro dan Albert Juwono menjadikannya tidak menang tangan memenuhi undangan program televisyen serta persembahan pentas.
Malah lebih istimewa, buat julung kali dia bakal beraksi di sebuah konsert besar di Malaysia dengan berkongsi pentas bersama rakan senegara, Wali Band serta artis tempatan, Khai Bahar dan Saixse.
“Sebelum saya muncul dengan lagu Dawai, undangan persembahan kalau dalam tiga bulan mungkin saya akan terima sebanyak dua atau tiga kali sahaja.
Tapi, kerana lagu ini yang sebenarnya dihasilkan hanya dalam tempoh tiga hari, kini lebih 10 tawaran dalam sebulan termasuk program televisyen dan ke Malaysia.
“Terima kasih juga kepada penyanyi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Aina Abdul, Amsyar dan ramai lagi yang mempopularkan Dawai,” ujarnya.
Sebagai mengukuhkan lagi nama dalam industri muzik, penggiat seni yang turut dikenali sebagai penyanyi klasikal itu bakal melancarkan dua single dalam tempoh terdekat.
“Saya sudah ada dua single baharu dan baru sahaja selesai rakaman beberapa hari lalu yang mungkin akan dilancarkan bulan depan,” katanya.
Mengenai konsert di Pulau Pinang pada 3 Februari depan anjuran Orange International, akuinya dia teruja bercampur berdebar menunggu waktu untuk beraksi di hadapan 5,000 penonton di Spice Arena.
“Saya anggap ini kesempatan yang baik dan indah apabila dapat membuat persembahan di Malaysia lebih-lebih lagi dalam konsert besar begini.
“Sebelum ini boleh dikatakan saya kerap ke Malaysia lebih daripada tujuh kali tetapi bercuti dan kalau buat persembahan pun dalam majlis tertutup.
“Jadi konsert di Pulau Pinang sesuatu yang saya tunggu-tunggu, tambahan pula sebelum ini saya lebih kepada pencipta kandungan media sosial, tapi sekarang sudah lebih dikenali sebagai penyanyi,” katanya. -HIBGLAM