Selebriti kekal muda, tidak dimamah usia

BUKAN sekali dua selebriti Korea Selatan menuai banyak pujian, kejelitaan mahupun ketampanan mereka sentiasa menjadi dambaan peminat tak kira wanita mahupun lelaki.

Ibarat tidak dimamah usia, segelintir penggiat seni Korea Selatan ampuh mengekalkan rupa paras menawan dan kekal aktif bergandingan dengan pendatang baharu meskipun masing-masing sebenarnya sudah melewati umur 40-an. Kimchi Panas minggu ini membariskan deretan selebriti K-Pop yang sentiasa kelihatan muda remaja seakan usia semakin menjauh daripada mereka.

Jun Ji-hyun

JUN JI-HYUN

HEROIN Lee Min-ho dalam drama Legend of The Blue Sea sentiasa tampil cantik dan menawan serta menjadi inspirasi buat golongan wanita.

Sudah menikah dan memiliki anak, aktres berusia 42 tahun itu masih serasi digandingkan dengan pelakon lelaki yang lebih muda daripadanya.

Menurut wanita jelita itu, rahsia menghindari penuaan adalah dengan bersenam selain mengawal pemakanan.

“Setiap harinya saya akan berusaha untuk bersenam sebelum melakukan aktiviti lain mahupun ke set penggambaran.

“Saya akan mengayuh basikal ataupun berjoging dan sebelah malam pula saya akan melakukan pilates untuk mendapat tubuh yang sentiasa segar dan aktif,” kongsinya menerusi satu rancangan temu bual. 

Song Hye-kyo

SONG HYE-KYO

Siapa sahaja tidak mengenali figura bernama Song Hye-kyo, apatah lagi dia sebelum ini pernah menjadi isteri kepada aktor kacak Song Joong-ki.

Dek kelihatan muda dan sentiasa segar bahkan kelihatan persis gadis 20-an, ramai yang tidak menyangka aktres jelita itu sudah berusia 42 tahun.

Memetik satu laporan, petua yang diamalkan Song Hye-kyo untuk kekal awet muda adalah dengan merawat wajah menggunakan masker buatan sendiri hanya daripada telur dan madu.

Katanya, dia akan memakai masker buatannya itu setiap hari di rumah mahupun ketika waktu rehat di set penggambaran.

Gong-yoo

GONG-YOO

Gong-yoo merupakan antara aktor  paling popular milik Korea Selatan.  Bayangkan, pada usia 43 tahun, bintang Train To Busan itu masih aktif menerima tawaran naskhah televisyen, penstriman digital, filem dan iklan komersial.

Wajahnya yang awet muda dan seolah-olah tidak menua membolehkannya menggalas pelbagai watak tanpa pengarah perlu pening kepala memikirkan faktor umur.

Aktor itu sering digandingkan dengan pelakon wanita muda tanpa kelihatan janggal.  Ditambah pula dengan teknik lakonan yang berkesan, setiap watak digalasnya sentiasa berkualiti dan menjadi kegemaran sekian ramai pemujanya di seluruh dunia.

Sepanjang bergelar aktor, Gong-yoo kebiasaan meninggalkan impak dengan  peranan utama, termasuk watak ikonik sebagai lelaki misteri dalam Squid Game.

Kim Tae-hee

KIM TAE-HEE

Wajah tidak menua sehingga dituduh melakukan pembedahan plastik, kecantikan Kim Tae-hee kerap kali menjadi topik hangat peminat dunia hiburan K-drama.

Dengan garis wajah tegas, manis dan dikatakan menepati piawaian kecantikan, kejelitaan aktres berusia 43 tahun itu menjadi dambaan ramai.

Tiada rahsia, kata Tae-hee dia hanya mengamalkan rutin penjagaan muka selepas bangun  dan sebelum tidur.

“Sama macam emosi, kulit perlukan perhatian rapi, setiap wanita mesti kena ada rutin penjagaan wajah, mencuci, sental dan rawat dengan produk berkualiti dan diperakui pakar.

“Tapi apa yang paling penting adalah pemakanan, kena makan makanan yang sihat dan bersih, kena faham kecantikan sememangnya bermula dari dalam,” katanya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok