PEMERGIAN pelakon dan pelawak, Hamdan Ramli diterima dengan penuh keredaan oleh seluruh ahli keluarga.
Anak sulung Allahyarham, Muhamad Zeyreen Misha, 31, berkata, sudah cukup lama anggota kumpulan Senario itu terlibat dalam dunia hiburan tanah air.
Kata Zayren, dalam kalangan kawan-kawan dan ahli keluarga, bapanya dipanggil penceramah bebas.
Sepanjang hayat, bapanya banyak meninggalkan pesan tentang kematian bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi juga kepada rakan-rakan seperjuangan.
Babah memang banyak meninggalkan pesanan, kawan-kawan dia cakap dia penceramah bebas. Pesanan terakhir dia kepada adik-beradik, keluarga dan kawan-kawan adalah dengan berkongsi bacaan surah bagi memudahkan urusan itu (kematian dan masuk syurga).
“Saya selaku ketua keluarga yang baharu mewakili ahli keluarga lain buat keputusan biarlah babah berehat terus, biar dia rehat dan ahli keluarga akan jumpa semula di alam lain nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSA Johor Bahru, di sini.
Tambah Muhamad Zeyreen lagi, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Abu Ubaidah, Taman Perpaduan, Ipoh, Perak untuk disembahyangkan dan bagi memberi peluang kepada ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir.
Jenazah babah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, malam ini juga,” ujarnya.
Sementara itu, Muhamad Zeyreen Misha turut memberitahu, dia dan adik-beradiknya turut mempunyai minat untuk berkecimpung dalam bidang seni, namun perkara itu bergantung kepada peluang.
Soal meneruskan legasi babah, minat itu memang ada cuma belum ada masa untuk ditonjolkan, jika ada rezeki insya-Allah akan diperluas. Tetapi apapun kami akan tanya mak dahulu, jika dia luluskan baharu kami teruskan,” jelasnya.
Allahyarham Hamdan meninggalkan isteri, Norhamalini Ahmed, 54, serta empat orang anak iaitu Muhamad Zeyreen Misha, 31; Muhamad Nazreen Aiman, 28; Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21.
Terdahulu, pada 31 Disember lalu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA Johor Bahru akibat komplikasi buah pinggang.
Dia bersama rakan-rakan anggota kumpulan Senario yang lain berada di negeri ini untuk menjayakan program Wonderful Night with Senariounion yang merupakan program berhibur sambil beramal bertujuan mengumpul sumbangan untuk membantu golongan artis veteran tanah air.
Sementara itu, anak ketiga Allahyarham, Muhamad Syazreen Haqem, pula memberitahu, ayah mereka turut meninggalkan pesanan kepada anak-anak untuk menjaga ibu mereka.
“Babah (panggilan untuk arwah) ada pesan supaya jaga ibu seperti mana dia menjaga isterinya. Waktu babah pesan seperti itu, saya dan adik beradik lain berada di sisinya.
“Babah juga beritahu dia sayangkan peminat-peminat kumpulan Senario. Saya mohon semua doakan agar urusan dia dipermudahkan,” jelasnya. – HIBGLAM