PENYANYI Khai Bahar ralat tidak berada di sisi ibunya, Allahyarham Rosnah Muhammad pada detik akhir pemergian insan kesayangannya itu malam tadi.
Begitupun, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 29 itu reda berdepan kehilangan besar dalam hidupnya dan keluarga.
“Tak tahu nak cakap apa tapi rasa kosong sebaik dimaklumkan berita tersebut. Ralat tiada di sisinya sebab saya di pulau Langkawi.
“Selepas dibantu kenalan yang mencarikan bot, saya sampai di rumah di Kangar sekitar pukul 2 pagi tadi,” katanya kepada Kosmo! Online.
Allahyarham yang baru meraikan ulang tahun ke-62 pada 25 Disember lalu menghembuskan nafas terakhir dalam tidur pukul 10.40 malam tadi.
Difahamkan, ibu kepada enam anak itu menghidap pelbagai penyakit seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati.
Arwah juga menjalani rawatan dialisis sejak awal tahun lalu, selain pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan masalah sesak nafas sekitar September 2023.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Rosnah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, Kangar, pada pukul 12.15 tengah hari tadi.
Urusan solat jenazah disempurnakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar. -HIBGLAM