MENYINGKAP semula, tahun ini nama wanita secantik patung Barbie itu menjadi selebriti wanita yang paling banyak mengisi bualan ramai disebabkan gosip cinta lokasi bersama pelakon juga penyanyi Aliff Aziz.
Tidak cukup dengan gosip cinta, dia dilabel pula sebagai orang ketiga, pengacau rumah tangga Aliff.
Cerita sensasi tersebut tidak pernah sunyi sepanjang tahun, malah sehingga ada yang memandang kerjaya seninya sedikit tenggelam dek gelombang kontroversi.
Sedar dirinya kerap menjadi topik bualan dan bahan sensasi berita dalam media sosial, aktres berusia 30 tahun itu mahu menutup buku 2023 yang dianggap sebagai tahun paling memenatkan.
“Tiada hal yang memenatkan apabila menjadi bahan gosip dan cerita sensasi masyarakat tahun ini. Cukup-cukuplah kait dan jaja nama saya.
“Harapnya cerita sensasi saya yang membanjiri 2023 tidak berlarutan sehingga ke tahun depan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dia juga mahu memulakan 2024 dengan semangat baharu yang lebih positif sekali gus melenyapkan segala episod hitam tahun ini.
“Sejak awal tahun saya penat nak layan semua soalan dan cerita yang sama, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan lelaki berstatus suami orang.
“Kalau boleh, saya nak tutup buku 2023 dengan kisah indah dan memulakan 2024 dengan jalan cerita lebih baik dan positif,” tuturnya.
Dalam masa sama, Sophia beraza mahu lebih berhati-hati menerima sebarang watak dan hero gandingan bagi mengelak kontroversi berulang.
“Saya memang serik. Kalau boleh saya lebih selesa berlakon dengan lelaki solo atau mereka yang mempunyai pasangan memahami.
“Penat fizikal sebab bekerja dan mental pula letih dengan tohmahan orang.
“Awalnya sukar juga nak lalui semua ini tetapi lama-kelamaan saya menjadi individu lebih kuat mendepani kecaman ramai,” tuturnya lembut.
Dia malah bersyukur kerana dikelilingi dengan ramai individu yang tidak pernah berhenti memberi sokongan selain menafikan dirinya ‘dipulau’ di set penggambaran dek isu penyondol.
“Selain sokongan, syukur ada banyak tawaran kerja yang buat saya lupa masalah dan berjaya harungi sepak terajang dunia hiburan tahun ini.
“Ada yang cakap saya ‘dipulau’ sedangkan perkara itu langsung tidak berlaku. Semua melayan saya dengan baik,” jelasnya.
Dari satu sisi lain berbeza, bintang filem Miimaland itu bukan mahu lari jauh daripada perhatian, namun mahu meminimumkan umpatan menyakitkan perasaan, dalam masa merendahkan reputasi kariernya.
“Seboleh-bolehnya tak mahu kontroversi memonopoli sehingga orang terlupa karya lakonan saya.
“Selagi boleh, saya akan tepis demi nama naik keluarga juga,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Selain impian mahu kehidupan lebih tenang, dramatis popular menerusi drama Suamiku Lelaki Pendosa itu bakal muncul dalam beberapa karya hebat tahun depan.
Antara yang bakal dipersembahkan adalah kemunculannya menerusi karya Erma Fatima, Lelaki Itu dan From Saga With Love 2.
“Di sebalik cerita kurang enak, saya masih bersyukur kerana tetap diberi kepercayaan untuk terlibat dalam naskhah-naskhah hebat,” ujarnya lagi.
Seperkara lagi, dia juga mahu membayar semula hadiah diberikan peminat yang bertungkus-lumus mengundinya sehingga diangkat sebagai Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-33 yang lalu.