SUDAH masak dengan sepak terajang dunia seni, pelakon senior Noorkhiriah mengingatkan pelakon baharu agar menetapkan niat sepatutnya dalam bekerja selain tidak sengaja mencipta kontroversi murahan semata-mata untuk popular.
Ujar pemilik nama penuh Noorkhiriah Ahmad Shapie itu, mereka perlu sentiasa menerapkan rasa hormat dalam diri terhadap orang sekeliling terutama kru produksi yang sama-sama terbabit dalam pembikinan sesebuah karya.
“Kerja macam saya (pelakon) adalah bersama pasukan maka kita kena hormat semua orang tidak kira siapa.
“Jagalah diri adik-adik yang baru nak cipta nama dalam industri, betulkan niat kita bekerja untuk apa.
“Jangan kejar apa yang tidak pasti sebab yang pasti hak kita Allah akan permudahkan. Kerja elok-elok dan ciptalah cerita yang memberi manfaat,” katanya menerusi sebuah hantaran dalam Instagram.
Dalam hantaran sama, aktres berusia 44 tahun itu juga menasihatkan pendatang baharu supaya tidak terus mendongak kelangit meskipun memegang status sebagai individu yang dikenali remai.
“Jangan rasa kita artis, kita besar. Jangan kita lupa manusia boleh mendoakan untuk kita bangun dan jatuh.
“Zaman saya dahulu betapa susah untuk ada seperti sekarang. Pergi shooting duduk dalam van sempit macam sardin dalam tin. Tiba-tiba duduk atas besi panas, pijar jadinya. Tapi seronok.
“Sampai set tegur semua orang. Bawa aura positif walaupun semalam gaduh baling periuk. Jangan cerita (masalah) kepada sesiapa kerana tiada manusia yang nak tahu masalah kita,” tuturnya panjang lebar.
Sebelum ini kecoh dalam media sosial apabila terdapat netizen yang mendakwa rata-rata artis baharu semakin besar kepala dan sombong dengan peminat apabila sudah meraih populariti.
Antara artis yang turut terpalit dengan dakwaan tersebut ialah Meerqeen, Amir Ahnaf dan Anna Jobling. – HIBGLAM.