KISAH pernikahan pelakon Hafidz Roshdi dan Athira Yuhada terus hangat diperkatakan dalam media sosial sehingga hari ini.
Bukan sahaja netizen tumpang bahagia, tuan badan, Hafidz atau nama penuhnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, turut berkongsi momen manis dengan isteri yang dikenali sejak berusia 15 tahun.
“Kami mula berkenalan sejak 2009 iaitu ketika berada di tingkatan tiga.
“Sekejap sahaja masa berlalu, sekarang 2023, sudah 14 tahun kami kenal,” katanya ringkas dalam video yang dikongsi dalam media sosial.
Menerusi video berdurasi satu minit 12 saat itu, pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu turut memuat naik foto-foto kenangannya bersama Athira sejak 2009 sehingga usia mereka 21 tahun.
Perkongsian tersebut seterusnya mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang mendoakan kebahagiaan namun tidak kurang juga mempertikai respons dua anak Hafidz sekiranya menonton video tersebut.
“Tidak pasti apakah yang dirasai anak-anak awak selepas menonton video ini.
“Apapun tahniah dan semoga perkahwinan anda diberkati,” komen netizen.
Terdahulu, pada 16 Disember lalu, Hafidz selamat bernikah dengan Athira di sebuah premis acara di Glenmarie, Shah Alam dengan sekali lafaz.
Sebelum ini, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Nurul Shuhada, 29, pada 30 April 2016.
Namun, mereka berpisah pada 27 Julai lalu selepas pihak mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dilakukan Hafidz terhadap Shuhada sekitar Februari lalu.
Kes mahkamah Hafidz yang didakwa memukul Shuhada sehingga cedera pada bahagian muka juga masih belum selesai dan perbicaraan dijangka pada 6 dan 7 Februari tahun depan.
Selain kes pukul, perbicaraan berkaitan tuntutan hadhanah (hak penjagaan anak) oleh kedua-dua belah pihak juga masih belum menemui titik noktah. – HIBGLAM