[VIDEO] Murung teruk, 3 kali Amir Jahari cuba terjun jambatan

PENYANYI Amir Jahari mendedahkan pernah mengalami kemurungan yang teruk, sehingga pernah berniat untuk menamatkan riwayat hidupnya sebanyak tiga kali sejak 2018.

Amir atau nama lengkapnya Mohamad Amirullah Jahari ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia bagaimanapun membatalkan hasrat tersebut selepas terbayang wajah beberapa insan penting dalam hidupnya.

“Saya pernah mengalami kemurungan yang teruk sehingga pernah terdetik untuk terjun dari jambatan sebanyak tiga kali.

Tapi alhamdulillah, saya tidak teruskan niat untuk menamatkan riwayat sendiri sebab setiap kali saya nak terjun dari jembatan, saya akan terbayang wajah insan-yang saya sayangi.

“Kali pertama, saya terbayang wajah ibu saya. Ketika niat kali kedua pula, saya terbayang muka isteri dan anak. Kali ketiga, saya terbayangkan muka guru saya, Allahyarham Raja Ashman Shah,” katanya.

Ujar Amir lagi, selepas tiga kali terdetik untuk mengakhiri hidupnya, pelantun lagu Hasrat itu tekad mendapatkan bantuan dan rawatan mengatasi masalah kemurungan yang dialaminya.

Sejak itu, saya rasa perlukan bantuan dan telah berjumpa dengan pakar psikiatri, selain mengambil ubat.

“Syukur, keadaan saya semakin baik dan tidak lagi mengambil sebarang ubat sejak 2021,” jelasnya.

Ketika ditanya apa punca kemurungannya, pada hari ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38), disini, hari ini enggan berkongsi perkara tersebut.

Biarlah saya sendiri yang tahu,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Amir turut meluahkan rasa gembira apabila lagu nyanyian dan ciptaannya berjudul Hasrat, berjaya tersenarai dalam 12 lagu yang layak mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada Mac tahun depan.

Sambil menitiskan air mata, Amir berkata dia terharu dan sedih mengenangkan lagu tersebut dihasilkan selepas mendapat perkhabaran arwah bapanya menghidap penyakit kanser beberapa tahun lalu.

Saya sedih sebab lagu ini saya hasilkan sewaktu dapat tahu ayah saya menghidap penyakit kanser pada 2018.

“Selepas empat tahun melawan kanser, ayah meninggal dunia pada tahun lepas.

“Jadi, sebab itulah saya menitiskan air mata,” ujarnya. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok