PENYANYI dan komposer tersohor, Datuk M.Nasir kembali diumumkan Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada majlis Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) mengenepikan penerima tahun lalu, Ezra Kong.
Syarikatnya Luncai Emas Sdn. Bhd turut menerima anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak selain Persembahan Lagu Luar Negara Terbanyak menerusi Cinta Sampai Mati.
Penghibur yang meraih gelaran sifu itu turut membawa pulang trofi Persembahan Lagu Melayu Terbanyak hasil populariti Tiara yang dirakam semula penyanyi Indonesia, Raffa Affar.
Pemilik nama sebenar Mohd. Nasir Mohamed, 66, itu berkata anugerah tersebut bersandarkan populariti serta penerimaan ramai, bukan sahaja dalam kalangan pendengar di Malaysia.
“Sekarang ini kita kena fikirkan pasaran dulu, tiada halangan dari segi kreativiti jadi kita kena sesuaikan sesuatu lagu dengan kehendak pasaran termasuk di negara jiran.
“Dalam situasi dunia tanpa sempadan, pencipta muda juga kena gunakan rangkaian usahasama bagi memudahkan lagu menembusi Indonesia,” katanya selepas majlis penyerahan trofi yang berlangsung di sini, malam tadi.
Universal Music Publishing Sdn. Bhd. pula terus mempertahankan kedudukan selaku Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi.
Penyanyi dan komposer muda berbakat, Reedzwann, 23, yang diangkat sebagai Komposer Muda Berpotensi tahun ini hasil sambutan ramai terhadap Adakah Ini Mimpi bersama 37 juta tontonan.
Sementara itu, vokalis Drama Band Aepol Roza pula diiktiraf sebagai Pencipta Terbaik TikTok dengan kemasyhuran lagu ciptaannya, Drama yang meraih lebih 3 juta tontonan.
Edisi tahun ini turut menjadi momen penuh bermakna buat keluarga Allahyarham JS Kevin atau nama sebenarnya Zul Adnan Mohd Razali apabila komposer itu dipilih sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta.
Antara anugerah lain yang diumumkan adalah Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak iaitu Stay Away hasil gubahan Zhe Kamil dan Guccimith.
Anugerah MACP adalah platform mengiktiraf komposer dan penulis lirik yang dinilai berdasarkan hasil royalti daripada persembahan muzik di stesen televisyen serta radio, konsert, acara makan malam dan lain-lain organisasi dilesenkan badan terbabit.
Kemeriahan acara yang berlangsung di sebuah hotel itu di ibu negara itu juga diserikan persembahan penyanyi popular seperti Liza Aziz, Hazama, Marsha Milan serta Ruffedge. – HIBGLAM