SAYA tunaikan janji menyanyi sebab tak mahu menyusahkan orang lain.”
Itu kata penyanyi Ayu Damit yang nekad menjayakan persembahan sebuah majlis korporat biarpun baru tiga hari melahirkan anak keempat.
Ayu mengakui sedar kemunculannya pada 2 Disember lalu mencetuskan kebimbangan ramai berikutan masih dalam fasa awal berpantang.
Sebenarnya persembahan tersebut sudah dipersetujui awal. Saya pun tak sangka bersalin 17 hari lebih awal daripada tarikh jangkaan. Saya tak mahu menyusahkan orang lain untuk cari pengganti.
“Memang ramai yang luahkan rasa bimbang. Alhamdulillah semuanya berlangsung dengan baik, saya pun tak banyak bergerak sepanjang persembahan.
Tiada paksaan pun, saya sendiri yang sedia beraksi kerana berpegang kepada janji biarpun suami serta pihak berkaitan sudah memberikan solusi lain,” katanya kepada HibGlam.
Menurut pemilik nama sebenar Norayu Damit, 33, itu, sedari awal suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin melarangnya keluar namun akhirnya pasrah selepas dia menyatakan sebab berbuat demikian.
“Saya tahu suami risau, tetapi saya tahu tahap kesihatan diri. Lagipun, saya hanya bawa tiga lagu dan terus pulang ke rumah usai persembahan.
“Terima kasih kepada yang mendoakan saya serta bayi kami dan tinggalkan kata-kata yang baik-baik. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan Allah,” ujarnya.
Penyanyi lagu Hanya Di Mercu itu selamat melahirkan bayi perempuan dengan berat 2.3 kilogram secara normal pada 2 Disember lalu.
Bergelar isteri kepada Syed Fauzi pada 2009, pasangan itu sebelum ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syed Nashrul Haikal, 14, Sharifah Alya Aryana, 11, dan Syed Aqif Najmi, 8 tahun.
Terdahulu, videonya beraksi membawakan tiga lagu termasuk bernada tinggi Hanya Di Mercu di sebuah acara meraih perhatian ramai kerana masih dalam berpantang. – HIBGLAM