Kerjaya seni Cha Eun-woo bermula di tandas

BERBEKALKAN wajah tampan, laluan untuk penyanyi juga pelakon, Cha Eun-woo untuk dikenali ramai tampak mudah. 

Hakikatnya, untuk memiliki populariti seperti hari ini bukanlah satu perkara yang mudah buat Eun-woo atau nama sebenarnya, Lee Dong-min.

Perjalanan seni lelaki berusia 26 tahun itu bermula dengan kumpulan K-Pop, Astro yang memulakan langkah pada 2016.

Malah, apa yang melucukan Eun-woo diuji bakat untuk menjadi bintang di agensi Fantagio Entertainment di hadapan tandas.

“Saya masih ingat, terdapat seseorang yang mengekori saya sehingga ke tandas dan akhirnya menguji bakat saya. Selepas itu, semuanya tinggal sejarah,” kongsinya  ketika muncul dalam sebuah program televisyen.

Meskipun hadir dengan pakej yang lengkap, pada awal kemunculan, Eun-woo tidak ketinggalan dikritik peminat kerana nyanyian, tarian dan mutu lakonan yang dianggap tidak layak untuk memegang watak utama dalam mana-mana naskhah.

“Zaman menjadi pelatih pun sudah cukup sukar. Saya menangis setiap hari dan mencuba melakukan yang terbaik.

“Tetapi ketika sudah bekerja dalam industri kritikan yang diterima lebih keras. Pengalaman tersebut melatih saya untuk menjadi pengkritik paling tegas untuk diri sendiri.

“Pekerjaan sebagai anak seni memang cukup sukar tetapi saya tidak pernah merungut. Sebaliknya, saya sangat dahagakan ilmu,” katanya yang gemar mempelajari pelbagai bahasa.

SEBELUM popular, Eun-woo pernah dikritik hanya menjual rupa paras dan tidak mempunyai
bakat nyanyian, tarian serta lakonan.

Setakat hari ini, Eun-woo fasih bertutur dalam bahasa Korea, Inggeris, Mandarin dan Jepun, bahkan turut mempelajari bahasa Itali serta Latin demi lakonan sebagai paderi dalam sebuah naskhah berjudul Island.

Versatil

Populariti Eun-woo mendadak naik selepas diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama popular My ID is Gangnam Beauty dan True Beauty.

Sejak detik tersebut, dia dihujani banyak tawaran lakonan dan duta produk. Kini, wajah tampannya boleh terpampang di setiap ceruk Korea Selatan, baik mewakili jenama fesyen antarabangsa sehinggalah barangan peralatan rumah.

Meskipun kini sudah terbiasa menerima pujian dek kesempurnaan paras rupa, Eun-woo enggan dikenali sebagai selebriti berwajah tampan semata-mata. Dia sebaliknya mahu dikenali sebagai artis versatil.

“Saya menghargai pujian tentang rupa paras, tetapi sekitar dua tahun lalu saya mempunyai satu keinginan untuk dikenali lebih daripada sekadar berwajah tampan.

“Sekarang saya lebih matang, daripada sibuk memikirkan penghargaan dan pujian, lebih baik saya bekerja keras di jalan yang telah dipilih ini.

“Saya yakin dengan usaha dan kerja keras, penghargaan yang diinginkan akan datang dengan sendiri,” tutur bintang filem Decibel itu lagi.

Selepas tujuh tahun bergelar anak seni, Eun-woo bertegas masih lagi orang yang sama walaupun hakikatnya dia seorang bintang yang menerima bayaran paling lumayan di Korea Selatan.

Buktinya, Eun Woo membeli sebuah apartmen mewah di kawasan Cheongdam-dong, Gangnam bernilai 4.9 bilion won bersamaan RM17.3 juta secara tunai.

“Ketika saya masih kecil, ibu akan melekatkan nota di tepi telefon. Nota tersebut berbunyi: ‘belajar untuk menjadi orang yang bersyukur dan lihat kembali apa yang kamu lakukan’. 

“Mesej-mesej itu menjadi sebahagian daripada nilai peribadi diri saya,” kata Eun Woo.

SELEPAS tujuh tahun menjadi anak seni, Eun-woo kini antara pelakon yang menerima
bayaran termahal di Korea Selatan.

Bintang kelahiran 1997 itu menyifatkan dirinya seorang yang sangat setia dan tidak pernah hanyut dalam populariti.

“Saya seorang yang setia dan tidak pernah berubah walaupun bekerja sebagai anak seni. Saya mudah terasa sensitif jika ada orang berkata buruk tentang orang yang saya sayang,” luahnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok