PELAKON Esma Daniel berdepan detik cemas apabila mendapat serangan angin ahmar atau strok selepas melakukan aktiviti harian termasuk larian dan menjamah makanan.
Serangan tersebut mengakibatkan bahagian tubuh sebelah kirinya lemah sehingga tidak mampu berdiri.
Katanya, ketika kejadian berlaku pada 10 November dia tidak terus ke hospital biarpun sebelah wajah sudah senget, sebaliknya hanya berbaring dengan kedudukan kaki dinaikkan bagi mengurangkan tekanan darah darah tinggi naik mendadak.
Pada 10 November 2023 usai larian rutin selepas makan malam, secara tiba-tiba saya rasa tangan kiri saya tidak dapat mengangkat gelas minuman dan isteri saya dapati muka saya agak herot.
“Apabila saya cuba bangun, kaki kiri saya terlalu lemah hingga saya hampir tumbang tetapi dapat disambut isteri.
“Saya yang menghidapi hipertensi mendapati tekanan darah mendadak tinggi lalu baring dengan kedudukan kaki dinaikkan, cuba tenangkan diri dan perlahan-lahan tekanan darah turun sedikit,” katanya berkongsi insiden serangan itu dalam Facebook, semalam.
Menurut aktor berusia 54 tahun itu, dia tidak segera ke hospital biarpun dinasihatkan isterinya, Nur Atira Mazlan kerana menjangkakan keadaannya akan bertambah baik.
Namun kongsinya, tindakan hanya mendapatkan rawatan sehari selepas serangan mendapat teguran doktor selepas ujian imbasan CT menunjukkan kewujudan darah beku sebanyak 3 milimiter (mm) pada otaknya.
“Pada ketika itu isteri menyarankan untuk ke hospital tapi saya yakin keadaan akan bertambah baik dan hanya mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz keesokkan harinya.
Pada 11 November pukul 4 petang saya telah ditahan di wad kecemasan dan doktor yang bertugas ketika itu agak menyesali keputusan saya lambat ke hospital.
“Dia terangkan jika saya datang awal hospital akan melakukan kaedah trombektomi endovaskular iaitu teknik rawatan terkini untuk mengeluarkan darah beku yang menyumbat salur darah besar di otak iaitu penyebab angin ahmar.
“Prosedur ini lazimnya dilakukan dalam lingkungan masa 24 jam selepas serangan strok, namun doktor berpendapat saya harus diberi peluang menerima rawatan itu memandangkan saya aktif bersukan yang memberi kemungkinan otak dan organ badan saya masih berfungsi dengan baik walaupun selepas 24 jam serangan,” ujarnya.
Imbasan CT yang menunjukkan otak pelakon itu masih dalam keadaan baik membolehkan kaedah trombektomi dilakukan, sekali gus tiada lagi darah beku pada bahagian tersebut.
Begitupun, aktor senior yang lebih tiga dekad berada dalam industri seni itu ditempatkan di wad rawatan rapi (SCU) selama empat hari.
Bagi memastikan jantung saya tidak terkait dengan serangan strok, ECG atau elektrokardiogram dan ujian gelombang bunyi (ultrasound) dilakukan dan Alhamdulliah, jantung saya berada dalam keadaan baik,” katanya.
Bapa kepada enam anak itu tidak ketinggalan menzahirkan terima kasih kepada petugas hospital selain mengingatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan dan ambil ubat mengikut jadual.
“Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof. Madya Wan Nurnafisah, Dr. Wan Asyraf, Dr. Josiah, terutamanya Dr. Izzati dan jururawat di wad SCU Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
“Apa yang boleh saya katakan pada mereka yang merokok atau ‘vape’ tetapi aktif bersukan seperti saya,berhenti sajalah demi nyawa anda.
“Pemakanan serta diet yang sihat dalam mengimbangi kolestrol dalam darah juga diutamakan dan jika ada mengalami hipenstasi, janganlah culas mengambil ubat,” ulasnya.
Esma tidak ketinggalan meluahkan rasa syukur dapat kembali meneruskan rutin larian sekali gus menikmati kehidupan bersama isteri dan keluarga. – HIBGLAM