Shila Amzah sangkal isu lagu sama dengan Siti Nordiana

PENYANYI Shila Amzah mendedahkan Britney Spears merupakan idolanya sekali gus menjadi sebab utama memilih lagu Baby One More Time pada konsert minggu kelima Famili Duo 3 semalam.

Perkongsian Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 33, tersebut juga menjawab dakwaan dia sengaja memilih lagu milik Britney Spears yang turut didendangkan oleh penyanyi, Siti Nordiana pada konsert All Star Gegar Vaganza (GV10) semalam.

TANGKAP layar Shila membalas komen netizen berkaitan pemilihan lagu yang dikatakan sama dengan Siti Nordiana.

“Saya memang minat Spears, sebab memang tema minggu ini ialah idola,” jawabnya ringkas terhadap komen netizen yang mempersoalkan isu pemilihan lagu tersebut.

Menerusi hantaran sama, pelantun Memori Tercipta itu berkata sudah meminati Spears sejak zaman kanak-kanaknya.

“Anda tidak boleh bayangkan bahawa saya sangat meminati Spears dan terlalu suka cara dia membuat persembahan di pentas.

“Hanya Spears yang saya minati sejak zaman kanak-kanak. Syukur saya boleh gerakan tarian signaturnya (persembahan semalam).

“Walaupun ada yang tidak suka namun saya sangat seronok kertika membuat persembahan,” ujarnya.

Meskipun seronok, persembahan Shila dan adik lelakinya, Syahir Amzah bagaimanapun mendapat kritikan ‘pedas’ daripada juri tetap iaitu Mas Idayu.

Mas Idayu berpendapat Syahir tidak mempunyai bakat dalam nyanyian selain kurang memberi impak dalam persembahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok