Sazzy Falak tak risau dibanding-bandingkan

SEPERTI tahun terdahulu, program bual bicara, Women Talk kembali untuk musim keempat dengan tujuan utama iaitu pemerkasaan wanita bersama topik lebih menyeluruh.

Kali ini, Women Talk yang sudah bersiaran sejak 26 Oktober lalu mempertaruhkan pengacara baharu iaitu Sazzy Falak bagi mengupas pelbagai isu semasa.

Kata Sazzy, punca dia terjebak sebagai hos bagi program tersebut adalah disebabkan penerbit iaitu Datin Elaine Daly yang mempelawanya ke sesi uji bakat pencarian pengacara baharu.

“Asalnya saya dan Elaine berbual kosong mengenai calon pengendali bagi Women Talk musim baharu itu, malah saya sempat mencadangkan beberapa nama yang sesuai.

“Namun, dia pula minta saya datang. Saya pun setuju kerana anggap perkara ini sebagai momen indah dan tidak sangka pula dapat,” selorohnya.

Impian tercapai

Rezeki datang bergolek, pemilik nama lengkap Sazlina Shamsul Falak itu menganggap tawaran mengemudikan rancangan temu bual 10 episod itu cukup membanggakan kerana impian besarnya akhirnya menjadi kenyataan.

“Semestinya tawaran ini satu penghormatan kerana menjadi impian saya untuk tampil dalam program temu bual sendiri.

“Memang Women Talk bukan musim pertama (kendaliannya) tetapi saya terharu kerana pengisiannya masih sama iaitu bercakap mengenai pemerkasaan wanita.

“Kali ini, saya mengetengahkan isu pantang larang dalam kalangan wanita yang jarang didengari,” ujar pelakon filem Gol & Gincu itu.

Mengakui sedia berdepan kritikan memandangkan mana-mana program televisyen pasti akan tercetus perbandingan antara pengacara terdahulu, Sazzy bagaimanapun enggan melihat itu sebagai kekangan.

Dia mengenepikan kebimbangan tersebut dan hanya meletakkan komitmen yang terbaik buat audiens.

“Tidak risau orang buat perbandingan saya dengan pengacara sebelum ini. Mereka sememangnya sangat bagus.

“Saya cuma ingin jadi diri sendiri. Kalau orang buat perbandingan pun saya tidak kisah sangat.
“Pada akhirnya, ini satu perjalanan untuk belajar menjadi lebih baik,” jelasnya lagi.

Mengupas mengenai gaya pengacaraan, Sazzy hanya lebih menumpukan kepada keselesaan tetamu melontarkan buah fikiran mereka supaya lebih banyak input diberikan.

“Macam pengacara sebelum ini iaitu Deborah, dia lebih serius tetapi saya akan bawa stail saya yang lebih tenang.

“Perkara tersebut dibuat supaya tetamu lebih selesa berkongsikan ilmu atau pengetahuan yang mereka ada.

“Meskipun pada asasnya program ini lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris, saya bagaimanapun akan menggunakan bahasa Melayu juga untuk memudahkan pemahaman ramai,” ujar selebriti berusia 43 tahun itu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok