PELAKON Jasmine Suraya melahirkan rasa bangga apabila terpilih menjadi aktres pertama Malaysia pertama melanjutkan pengajian di Lee Strasberg Theatre and Film Institute, Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) tahun depan.
Jasmine atau nama penuhnya Jasmine Suraya Chin Xian Mei berkata, langkah melanjutkan pengajian tersebut adalah antara keputusan terbesar yang pernah diambilnya sejak bergelar anak seni tujuh tahun lalu.
Lebih membanggakan, beberapa bintang ternama antarabangsa seperti Angelina Jolie, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Lady Gaga juga merupakan alumni institut berkenaan.
Saya akan berehat sementara dari dunia lakonan untuk melanjutkan pelajaran di LA yang juga merupakan salah sebuah akademi seni berprestij.
“Selain itu, saya juga merupakan pelakon Malaysia pertama dan satu-satunya artis Asia bagi pengambilan kali ini,” katanya kepada HibGlam pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, dia yang pernah membintangi filem Paskal itu memberitahu, permohonan untuk menyertai institusi tersebut dihantar pada awal tahun ini dan keputusan kemasukan pula sekitar Julai lalu.
Dia juga memaklumkan sanggup menolak beberapa tawaran lakonan drama dan filem demi merealisasikan impiannya.
Saya terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan termasuk dari produksi filem Indonesia.
“Pada awalnya memang rasa terkejut dan berat hati apabila dalat tawaran ini tetapi memikirkan impian untuk menjadi pelakon lebih baik, saya teruskan hasrat tersebut.
“Jadi, saya akan ‘terbang’ ke sana Disember dan kelas akan bermula pada Januari sehingga Disember tahun depan,” ujarnya.
Sementara itu, Jasmine memberitahu, kos pengajian juga menjadi salah satu kebimbangannya apabila perbelanjaan keseluruhan pengajian yang perlu ditanggung adalah sekitar RM300,000.
Susulan itu, dia menaruh harapan besar agar hasratnya untuk menyambung pengajian ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan khususnya dalam bentuk biasiswa.
Antara usaha lain yang telah dilakukan seperti menghantar permohonan kepada beberapa agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri Sarawak.
Sebagai anak jati Sarawak, saya juga telah menghantar surat permohonan untuk mendapatkan dana sokongan daripada badan kerajaan di sana.
“Saya juga ada mencuba nasib dan mohon dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
“Setakat ini masih menunggu keputusan namun sangat berharap agar impian ini meraih sokongan penuh daripada pihak kerajaan,” ujarnya. – HIBGLAM