Belenggu, Putus taruhan Ruffedge

SELEPAS 25 tahun berada dalam industri hiburan tanah air, kumpulan Ruffedge berjaya mengekalkan aura yang kuat untuk terus kekal di hati pengikut setia mereka.

Fenomena yang dicetuskan kumpulan terdiri daripada lima orang anggota itu sangat digilai, malah karya-karya mereka masih tetap relevan sehingga hari ini.

Enggan membiarkan peminat terus melemparkan soalan tentang buah tangan terbaharu, Ruffedge terus memikat hati peminat mereka dengan menghadiahkan bukan satu, tetapi dua lagu baharu sebagai simbolik tanda kasih dan sayang terhadap penggemarnya.

RUFFEDGE yakin muzik yang diketengahkan mereka ada daya penarik tersendiri untuk memikat selera pendengar muda hari ini.

Belenggu dan Putus diibaratkan seperti ‘anak kembar’ buat Ruffedge apabila melahirkan dua lagu tersebut sekali gus merealisasikan impian peminat mereka untuk disajikan dengan karya yang lebih segar.

Selain atas kehendak penggemar setia, Belenggu dan Putus juga dizahirkan selepas kejayaan kumpulan itu mengadakan konsert Ruffera That Moment In Time yang berlangsung di Kuala Lumpur dan Singapura, beberapa bulan lalu.

Lebih istimewa lagi, lagu Putus turut membabitkan kolaborasi antara Ruffedge dengan penyanyi hebat, Lah Ahmad sebagai ‘rencah’ untuk memberi rasa pada lagu yang diterbitkan oleh Suffren Ghafar itu.

Salah seorang anggota Ruffedge, Cat Farish berkata, penampilan istimewa Lah Ahmad pasti akan menyuntik lagi keunikan lagu Putus sehingga meninggalkan kesan mendalam buat peminat setia kedua-dua penyanyi itu.

Dengan lahirnya Putus bersama Lah Ahmad, diharap lagu tersebut dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan muzik Ruffedge sebagai salah satu kumpulan berpengaruh di Malaysia.

“Besar harapan saya agar kedua-dua buah lagu ini dapat diterima baik pendengar, sama ketika waktu awal kemunculan kami dalam industri muzik tempatan,” ujarnya.

Tambah Cat, dia percaya bahawa muzik yang diketengahkan oleh mereka memiliki daya penarik tersendiri untuk memikat selera pendengar muda hari ini.

LAH Ahmad diundang berkolaborasi dengan Ruffedge menerusi lagu Putus.

Bagi Azan, dia berharap dengan kehadiran dua buah lagu itu dapat memberi sumber inspirasi yang positif kepada penggemar mereka, untuk dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Semoga lagu Belenggu dan Putus (penampilan Lah Ahmad) dapat diterima oleh pelbagai lapisan pendengar bagi menjadikan lagu kami sebagai sumber inspirasi yang positif pada masa akan datang.

“Insya-Allah, kami akan terus berinovasi dalam menghasilkan karya-karya yang baik dan berkualiti untuk peminat setia yang telah lama menantikan karya terbaharu daripada kami,” ujar Azan.

Seperti tajuknya, Putus menggambarkan tentang perasaan apabila mengakhiri sesuatu keputusan yang sangat melukakan hati.

Sudah pasti, lagu yang ditulis sendiri anggota Ruffedge itu akan melarutkan emosi pendengar.

“Putus mengisahkan tentang perasaan kecewa disebabkan oleh perpisahan yang berlaku, sekali gus menghancurkan harapan dan impian yang dibina dalam sekelip mata,” kata Mode.

Peka dengan isu semasa dan sosial yang melanda masyarakat sejak kebelakangan ini, kumpulan Ruffedge percaya ramai individu cenderung untuk hanyut dalam emosi mereka sendiri.

MESKI diberi suntikan lebih segar, Belenggu masih mengekalkan identiti Ruffedge sebagai kumpulan muzik bergenrekan hip-hop dan R&B.

Dengan itu, mereka mengambil inisiatif untuk mencipta lagu Belenggu sebagai satu wadah untuk mengungkapkan perasaan yang dialami oleh individu yang berdepan situasi tersebut.

“Untuk lagu Belenggu, kami ingin berkongsi mengenai perasaan dan pengalaman emosi yang mungkin dialami oleh segelintir pihak.

“Lagu ini juga bertujuan memberi ruang dan inspirasi yang positif kepada yang mengalami hal yang sama,” kata Sean.

Lagu Belenggu benar-benar istimewa kerana liriknya mempunyai maksud mendalam, selain disuntik dengan nafas baharu untuk menonjolkan elemen unik yang belum pernah didengari peminat mereka sebelum ini.

Walaupun cuba tampil dengan kelainan, Belenggu tetap memelihara keaslian Ruffedge dengan mengekalkan identiti mereka sebagai kumpulan muzik bergenrekan hip-hop dan R&B.

Belenggu dan Putus boleh dimuat turun dalam aplikasi digital iTunes dan boleh didengari menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok