Ella sumbang RM30,000 buat Palestin

GEORGE TOWN – Konsert ratu rock negara, Ella berjudul Jilid Akhir Puteri Kota yang berlangsung di Spice Arena, di sini malam tadi menyumbang lebih RM30,000 buat rakyat Gaza, Palestin menerusi tabung yang disalurkan kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Ella yang mendendangkan lebih 20 untaian lagu hitnya malam tadi berkata, hanya itu yang termampu dilakukannya sebagai seorang muslim selain doa yang sentiasa dikirimkan buat saudara seagama di Gaza.

Sebagai manusia apatah lagi sesama umat, Ella juga turut bersedih dengan situasi meruncing berlaku di Gaza apabila rakyat negara itu dizalimi Zionis laknatullah hari demi hari.

Lebih menggembirakan, jumlah tersebut bukan sebahagian jualan tiket sebaliknya hasil sumbangan setiap penonton yang sama-sama bermurah hati menyumbang semasa turun menikmati konsert ratu rock negara itu.

“Saya memang nak lakukan sesuatu buat Palestin dan alhamdulillah, saya mendapat sokongan yang hebat daripada para peminat. Saya tidak sangka dan hilang kata-kata dengan kebaikan rakyat Malaysia.

“Terima kasih buat peminat yang turun dan jalankan tanggungjawab membantu suara seagama kita di Gaza, Palestin. Terima kasih sangat-sangat,” katanya kepada Kosmo! Online usai menamatkan persembahan.

Pada persembahan malam tadi, lebih 14,000 penonton membanjiri lokasi ikonik, Spice Arena walaupun difahamkan tahap kesihatan Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin tidak begitu baik.

“Susah hati sebenarnya sebab dah dua minggu saya tak berapa sihat.

“Sebab cuaca tak menentu dengan jerebu membuatkan saya selalu batuk-batuk. Mengganggu penafasan saya,” jelasnya.

Persembahan malam tadi juga menyaksikan legenda rock tanah air, Awie Wings membuat kejutan berduet bersama Ella selain mendendangkan lagu Di Penjara Janji secara solo yang membuatkan satu arena bergema dengan sorakan serta teriakan audiens.

Sementara itu, berita baik buat peminat di Borneo apabila penganjur, Hitman Solutions mengumumkan akan meneruskan siri konsert di Sabah tidak lama lagi.

“Kami akan melanjutkan konsert ke Sabah pula tidak lama lagi. Di Kota Kinabalu tetapi lokasi akan dimaklumkan dari masa ke masa.

“Ikut perancangan mungkin konsert di Sabah akan berlangsung sekitar tarikh Januari atau Februari,” kata Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok