TIGA vokalis dengan tiga karakter berbeza muncul di atas pentas bersama dengan satu misi iaitu menyerlahkan kemampuan dan kekuatan masing-masing. Itu gambaran paling tepat untuk Konsert Trilogi yang menyaksikan Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim seolah-olah turun ke medan perang menghunuskan vokal sebagai ‘senjata’ menguji stamina serta aksi bertenaga.
Tiada istilah bertarung dengan selamat apabila ketiga-tiganya tampil melontarkan vokal yang penuh keyakinan, sekali gus menjadikan pentas Big Pillars Hall, Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) ibarat medan pertarungan tiga ‘jeneral’ muzik.
Aepul membuka serangan dengan vokal yang kemas dan sarat emosi, sebelum Aweera mengambil alih pentas dengan karakter rock yang lebih liar dan ‘garang’.
Fiq pula tidak mahu sekadar menjadi pemerhati apabila tampil dengan kekuatan vokal tersendiri, membuktikan dia juga mampu berdiri sama tinggi dalam gelanggang yang dihuni dua rakan seperjuangannya.
Paling menarik, perang tiga suara itu tidak pernah terasa seperti cuba menjatuhkan antara satu sama lain kerana mereka tampil dengan aura tersendiri.
Setiap kali seorang ‘melepaskan peluru’, seorang lagi seakan-akan menyambutnya dengan lontaran vokal yang lebih bertenaga.
Penonton menjadi saksi tiga vokal dengan tona suara berbeza menghasilkan satu persembahan yang begitu padat, terutama ketika mereka bergabung menerusi Selamatkan Aku iaitu lagu yang pernah mempertemukan trio terbabit pada tahun 2017.
Segmen gabungan tersebut menjadi antara kemuncak persembahan apabila hampir sedekad kemudian, ketiga-tiganya kembali berkongsi mikrofon di pentas mega.
Namun, sebenarnya Konsert Trilogi bukan semata-mata tentang siapa paling tinggi atau paling lantang lontaran suara, sebaliknya kekuatan sebenar konsert ini terletak pada keberanian mereka mempertaruhkan kemampuan secara langsung tanpa bergantung kepada gimik.
Penonton bertuah
Pada segmen solo, masing-masing membawakan lima lagu sebelum bergabung mempersembahkan lebih 10 lagu hits sepanjang zaman seperti dijanjikan.
Turut menaikkan momentum adalah segmen lagu baharu iaitu Gila yang turut meraih sorakan gemuruh penonton.
Sepanjang lebih dua jam beraksi, trio terbabit menyampaikan deretan lagu hits daripada ramai penyanyi serta band tersohor seperti Arjuna (Dewa 19), Opera Hidup (Wings), Tiara (Kris), Srikandi Cintaku (Datuk M. Nasir), Sendiri (May), Isabella (Search), Gemuruh (Wings).
Seleksi popular lain termasuk lagu Steelheart, She’s Gone, Its My Life (Bon Jovi), Pelesit Kota (Search) serta Drama (Drama Band).
Turut memanaskan pentas ialah isteri Aepul sendiri juga penyanyi, Leez Rosli yang tampil berduet dengannya mendendangkan lagu Sakit dan Kesal.
Kesimpulannya, andai Trilogi dilabel sebagai perang, tiada siapa pun tumbang di medan tempur tersebut melihatkan kesungguhan masing-masing.
Malah nyata, ketiga-tiga ‘jeneral’ pulang dengan kemenangan, sementara khalayak pula menjadi pemerhati paling bertuah kerana dapat menyaksikan satu bersejarah itu.
Tidak hairan apabila Aepul selaku penganjur menerusi syarikatnya, Aepul Roza Entertainment memberi bayangan mahu merealisasikan konsert berskala lebih besar tahun depan.
