PELAKON Zila Bakarin mempunyai prinsip untuk tidak mengeluarkan sebarang komen atau kecaman mengenai penampilan seseorang dalam media sosial khususnya platform Threads.
Menurut Zila, 51, perkara tersebut adalah untuk menjaga sensitiviti, maruah serta kesihatan mental orang lain.
“Saya pantang kalau hina dan ‘body shaming’ orang lain.
“Saya tak akan sesekali mengata individu lain dan sebenarnya sejak dulu sudah melakukannya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dalam pada itu, berbeza dengan artis lain, dia menganggap Threads sebagai platform yang bagus kerana banyak terdedah dengan pelbagai konten positif.
“Saya rasa platform ini bagus sebab dapat banyak benda positif.
“Memang orang banyak cakap Threads begini, begitu tetapi sebenarnya banyak benda-benda baik yang netizen kongsi.
“Bila job pun tiada, memang saya main Threads 24 jam.
“Alhamdulillah setakat ini pengikut saya dalam Threads banyak beri kata-kata semangat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, berdasarkan komen-komen yang diterimanya, dia menyifatkan kebanyakan pengguna Threads mempunyai pemikiran yang tidak terjangkau.
“Saya rasa pemikiran netizen dalam Threads di luar otak.
“Adakalanya dalam 10 komen, ada lapan respons yang memang kita sendiri tidak sangka,” ujarnya.
Terdahulu, Zila diberi jolokan sebagai ratu Threads susulan dilihat aktif meninggalkan komen dalam hantaran pengguna lain. – HIBGLAM
