‘Oh, pelakon handal ni’, saya faham mereka perli – Izzue Islam

TIDAK hanya kontroversi impak silap percaturan sendiri yang adakala menjadi menjadi pembunuh karier, persaingan dalam industri seni juga tidak tidak kurang kejamnya.

Untuk Izzue Islam, 17 tahun dalam industri dan masih relevan saat ada sahaja wajah baharu lahir dari segenap lapangan, pendekatannya mudah.

Pertama, keberanian untuk berubah dan ketegasan memegang prinsip. Walaupun pernah dihukum dengan pelbagai persepsi negatif gara-gara syarat enggan bersentuhan, Izzue tidak pernah hilang daripada radar.

Memakai topi pelakon, penyanyi dan pengacara, dia membina tembok pertahanan bersama isteri merangkap pengurusnya. Hari ini, dia bukan lagi sekadar bakat di hadapan kamera, tetapi seorang visioner yang sedia membina empayar produksinya sendiri.

Bukan mahu menyelak lembaran luka, hakikatnya polemik tercetus gara-gara syarat enggan bersentuhan dengan teman gandingan yang disuarakan sekitar sekitar 2014 masih basah dalam ingatan.

Biarpun ramai dalam kalangan peminat menyambut baik niatnya itu, tetap ada dalam kalangan orang industri sendiri skeptikal selain mempersoalkan perkara tersebut kononnya dia seakan-akan sengaja membunuh karier sendiri.

“Ya, waktu itu ada yang mengecam selepas saya suarakan hasrat enggan melakukan adegan bersentuhan dalam lakonan.

“Apa yang bermula sebagai keputusan peribadi bertukar menjadi badai yang mengheret nama saya dan isteri juga merangkap pengurus kerjaya, Awin Nurin.

Emosi saya berada pada titik paling bawah. Kecaman memang teruk gila. Orang kata, ‘macam mana kau nak berlakon kalau tak nak bersentuhan’. Ada yang cakap saya poyo, berlagak alim dan macam-macam lagi,” katanya ketika pertemuan empat mata dengan HibGlam.

PENGALAMAN diherdik dan diperli teman-teman sewaktu memulakan karier menjadi pelakon tambahan tanpa dialog satu ketika dahulu masih basah dalam ingatan Izzue. – AMIR KHALID

Biarpun sedar pendekatan yang diambil mengundang persoalan, dia memilih bersuara kerana yakin pendirian itu bukan dibuat untuk meraih perhatian atau mencipta sensasi.

“Memang masa buat keputusan saya tak fikir benda lain. Memang saya nak. Saya nekad dan sedar prinsip diluah membuka ruang untuk dihukum dengan pelbagai persepsi.

“Biasanya kalau ustaz atau ustazah yang berlakon, orang sudah faham (enggan bersentuhan). Kalau perempuan bertudung pun orang faham. Benda itu tak perlu diumumkan.

Saya pula lelaki dan umumkan. Sebab itu orang kata, ‘alah, poyolah mamat ni’. Memang kena teruk. Sebagai manusia sedikit sebanyak emosi terganggu. Tapi tak mengapalah,” ujarnya.

Awin tulang belakang

Di sebalik ketawa kecil mengimbau kisah lama, terselit impak pahit apabila teman hidupnya yang sejak awal menjadi tulang belakang kepada perjalanan kerjaya terkena tempias sama.

Bagi Izzue, sokongan isteri bukan sekadar mengurus jadual dan tawaran kerja, sebaliknya Awin merupakan individu yang memahami setiap simpang perjalanan yang ditempuhi.

SEDAR kematangan bertambah selari usia, Izzue kini merancang untuk membina sebuah syarikat produksi sendiri demi masa depan dan perkongsian rezeki dengan orang lain.

Sebab itu, ketika ada syarikat pengurusan lain cuba menyunting komitmennya, Izzue memilih untuk kekal bersama wanita yang sudah membina perjalanan itu bersamanya sejak sekian lama.

“Bukan saya tak percaya syarikat lain. Mereka pun ada artis yang berjaya mereka bina menjadi nama besar. Cuma saya sudah terbiasa dengan Awin.

Saya lebih selesa. Bila berurusan dengan isteri sendiri, lebih senang untuk saya kawal pergerakan dan perjalanan kerjaya,” katanya.

Luah Izzue lagi, sebelum namanya dikenali, dia terlebih dahulu melalui jalan yang panjang dan sunyi sebagai pelakon tambahan.

Ketika itu, walaupun hanya muncul beberapa saat dalam televisyen, hatinya tetap berbunga kerana itulah langkah pertama untuk mengejar impian.

“Setiap kali saya berlakon, saya akan beritahu, pesan kepada kawan-kawan supaya jangan lupa tengok drama saya’.

“Namun realitinya jauh daripada apa yang dibayangkan. Ada ketika namanya tidak muncul langsung atau sekadar kelibat tubuh atau belakang badan yang kelihatan.

Apabila mula diberikan watak kecil, ejekan pula yang diterima. Bila mereka tengok, tiada pun Izzue. Kadang-kadang jadi ekstra hanya lalu, nampak belakang badan saja, ada yang perli, ‘oh, pelakon handal ni, hebat’. Saya faham mereka perli,” kongsinya lagi.

Tambah Pelakon Lelaki Harapan Festival Filem Malaysia ke-25 itu, kata-kata tersebut meninggalkan rasa kecil hati kerana datang daripada kenalan yang diharapkan menjadi sumber semangat.

Kita nak mereka bagi sokongan ataupun semangat. Kita bukan nak tunjuk kita ini pelakon atau nak poyo. Kita cuma nak kongsi yang kita berlakon,” ulasnya.

Namun, Tuhan kadangkala menghadirkan luka bukan untuk menjatuhkan seseorang, sebaliknya untuk mengajar menjadi lebih bersemangat.

Daripada rasa kecewa lahir satu tekad menjadi bahan bakar kepada Izzue untuk terus membuktikan usaha tidak pernah mengkhianati hasil.

Memang terasa hati tapi sebenarnya daripada kecil hati itu yang buat saya terbakar. Saya cakap, ‘kamu ingat aku tak boleh berjaya, aku akan buktikan satu hari nanti’,” katanya dengan nada tenang.

Buka rumah produksi

Dedah anak jati Kota Bharu, Kelantan itu, bukan sekali ujian muncul malah dalam dunia yang sentiasa melahirkan wajah baharu, dia sedar namanya juga boleh tenggelam bila-bila masa andai terlalu selesa.

Atas kesedaran itu, pada awal kemunculan dahulu Izzue memilih untuk tidak statik sebagai pelakon sebaliknya turut meneroka cabang nyanyian dan pengacaraan.

“Saya rasa rezeki masih ‘masuk’ selepas ramai faham keengganan saya dalam bab bersentuhan kerana mahu menjaga ikhtilat. Pada masa sama, saya juga tak statik pada titik sama.

Selain berlakon, saya menyanyi dengan Forteen kemudian mengacara. Cabang seni itu banyak. Kalau kita selalu sangat dalam televisyen, orang pun boleh bosan.

“Sampai satu masa, stesen atau produksi beri kita ruang yang diisi dengan pengacaraan, nyanyian dan pelbagai projek lain agar saya tidak hilang daripada radar khalayak.

“Bila ada ruang antara drama, saya selitkan dengan pengacaraan. Jadi orang nampak saya ada. Bila masuk balik berlakon, ada jarak daripada drama sebelum ini,” ulasnya yang turut menjaga imej fizikal demi tuntutan kerjaya.

Bagi memastikan personaliti terjaga ditambah kemunculan ramai bakat baharu yang lebih ‘hot’, dia turut menjaga penampilan.

“Kalau nak makan berat, makan hari ini. Esok lusa kena kawal. Ambil ‘portion’ kecil-kecil. Kena rancang diet,” dedahnya.

Kini selepas hampir 17 tahun dalam industri, Izzue mula melihat masa depan lebih jauh daripada sekadar pentas, kamera dan set penggambaran.

Bersama Awin, dia merancang mengembangkan perniagaan dan ruang produksi kecil yang boleh menghasilkan video muzik, filem pendek serta kandungan kreatif.

Kalau ada syarikat sendiri, kita boleh buat projek untuk orang lain pula. Kebanyakan benda yang saya buat sekarang pun idea sendiri, termasuk ‘storyline’ terutama untuk iklan.

“Jadi, kenapa tidak bina syarikat yang kita dapat buka rezeki untuk orang lain juga? Ataupun kita buat untuk diri sendiri, perancangan masa depan,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok