‘Tak pernah sebut saya anak bunian, jangan buat spekulasi’ 

MENJELASKAN kekeliruan, pelakon Eyra Hazali tampil bersuara susulan kisah misteri berkaitan kelahirannya dahulu mencetuskan dakwaan kononnya dia merupakan anak bunian.

Eyra atau nama sebenarnya, Hazirah Qasdina Hazali, 28, berkata, imbasan zaman kecil yang diceritakan dalam sebuah program audio siar disalah tafsir, sekali gus mengundang fitnah sehingga turut mengheret nama ibu bapanya serta suami tercinta, Haziq Nadzli.

Katanya, terdapat segelintir pihak juga yang mula mempersoalkan nasabnya dengan bapa kandung, selain mempertikaikan status perkahwinan bersama Haziq.

“Perkara ini mengundang beberapa fitnah yang agak melampau melibatkan ibu bapa saya. Antaranya saya dikatakan anak bunian. Ada juga mempersoalkan betulkah bapa saya (sebagai) ayah kandung.

“Selain itu, ramai orang turut persoal perkahwinan saya dengan suami sah atau tidak. Perkara ini dah jadi tak sedap untuk didengar,” katanya dalam perkongsian video di Threads.

Mengulas lanjut, Eyra menegaskan tidak pernah mendakwa dirinya sebagai anak bunian, sebaliknya perkara tersebut hanya gurauan antara adik-beradik berikutan kisah misteri yang pernah diceritakan tentang kelahirannya.

“Saya tidak pernah sebut saya anak bunian. Saya cuma cakap adik-beradik mengusik saya anak bunian sebab kisah misteri selepas ibu saya buang televisyen lama di kawasan hutan.

“Kalau anda tak rasa perkara itu, anda tidak boleh menidakkan pengalaman orang. Tak boleh cakap perkara itu tak terjadi hanya kerana anda tak lalui,” ujarnya.

Eyra turut mengingatkan orang ramai agar jangan tidak membuat spekulasi terhadap kisah dikongsikannya kerana setiap perkara berbalik kepada ketentuan dan kuasa Allah.

“Dalam dunia ada macam-macam cerita. Apa yang kita boleh percaya, ini semua adalah kuasa Allah. Jangan buat spekulasi sehingga mengundang orang lain bercakap perkara yang tidak baik,” ujarnya.

Sebelum ini, ibu kepada tiga anak itu meraih perhatian selepas perkongsiannya dalam sesi audio siar Sembang Seram kendalian Safwan Nazri tular di media sosial.

Dalam perkongsian tersebut, Eyra menceritakan kisah yang didakwa berlaku kepada ibunya selepas membuang televisyen lama di kawasan hutan.

Menurutnya, perut ibunya yang sebelum itu rata tiba-tiba membesar pada keesokan harinya sebelum pemeriksaan doktor mendapati ibunya dikatakan hamil tujuh bulan.

Manakala bayi dalam kandungan tersebut adalah dirinya, sekali gus menjadi punca adik-beradik mengusiknya sebagai anak bunian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok