Tak sempurna namun indah, Fauziah Latiff kembali menyinar

APABILA Ideatelier mengumumkan bakal menganjurkan konsert solo pertama Fauziah Latiff, penulis tergolong antara ribuan peminat penyanyi jelita itu yang sabar menelan keterujaan.

Mana tidaknya, selepas empat dekad bergelar penyanyi, akhirnya penyanyi bersuara gemersik itu akan membuat persembahan di atas pentas berprestij menyanyikan rangkaian lagunya yang malar segar sehingga ke hari ini.

Ibarat bulan jatuh ke riba, itulah perumpamaan yang tepat untuk menggambarkan perasaan peminat-peminat setia Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa Jee itu.

Tipu kalau anda tidak pernah menyanyikan lagu Fauziah Latiff ketika sesi karaoke bersama para sahabat. Dia, Teratai Layu Di Tasik Madu, Enggan dan Setia Ku Korbankan antara yang popular dalam senarai lagu pusat karaoke.

Lagu-lagu dendangan Fauziah Latiff ibarat runut bunyi perjalanan hidup kita. Ada lagu tentang cinta, sahabat juga kehidupan. Semuanya berkait rapat dengan kehidupan khalayak sebagai manusia.

Tanggal 9 Mei 2026, kira-kira 3,000 peminat setia Fauziah Latiff berkumpul di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dalam persalinan serba putih untuk mengimbau nostalgia bersama penyanyi kesayangan mereka sepanjang konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live In KL.

Biarpun sebelum konsert ini berlangsung ada cakap-cakap netizen yang mempersoalkan kemampuan Jee untuk menyanyi secara ‘live’, bagi peminat setia, kesudian idola mereka untuk menjayakan sebuah konsert sudah memadai.

Jee memilih Setiaku Korbankan, sebuah single baladanya yang pernah menjadi lagu tema drama Kiranya Aku Tahu sebagai pembuka tirai konsert. – Ideatelier.

Rata-rata peminat yang hadir sekadar mahu mengimbau nostalgia dan menyanyi bersama-sama dengan Jee pada malam tersebut.

Jee membuka tirai persembahannya dengan lagu balada berjudul Setia Ku Korbankan. Bagi penulis, ini merupakan percaturan bijak dan merupakan satu kelainan kerana kebiasaannya penyanyi akan membuka pentas dengan lagu berentak rancak.

Lagu pertama sahaja Jee sudah berjaya mengunci emosi penonton. Itulah kehebatan Jee. Dia miliki deretan lagu yang mampu menangkap emosi pendengar.

Perkara tersebut diakui Jee sendiri. Dia bersyukur kerana selalu diberikan lagu-lagu yang mempunyai melodi indah dan seni kata yang begitu puitis.

Menyedari kemampuan dirinya untuk menyanyi secara ‘live’ tidak lagi sehebat ketika zaman kegemilangannya, Jee terlebih dahulu berpesan kepada penonton tentang perjalanan konsert yang akan berlangsung selama lebih dua jam tersebut.

“Terima kasih kepada Ideatelier (penganjur) kerana merealisasikan impian ini. Konsert ini adalah untuk anda.

Saya akan cuba yang terbaik. It might not be perfect tapi saya harap malam ini menjadi malam yang memorable for all of us,” kata Jee dalam ucapan pembukaannya.

Jee kemudian menyambung nyanyian dengan lagu Apa Sebenarnya, Tua Mengejar Kita, Bukan Berpatah Arang dan Aku Sebutir Pasir.

Sempat dia berkongsi pengalaman ketika awal pembabitan sebagai penyanyi. Kongsi Jee, dia ke studio rakaman dengan memakai baju sekolah bahkan berasakan suaranya terlalu halus seperti chipmunk.

Jee membuka segmen kedua dengan lagu Enggan yang disifatkannya sebagai karya paling sukar dinyanyikan dan paling panjang pernah dirakamkan.

Lagu ini lagu bunuh diri. Lagu paling saya takut sedunia. Tetapi hari ini, saya tiada pilihan. Kata Ezuwan (penganjur), kak jangan enggan kak,” kongsinya mengundang tawa penonton.

MEMBERANIkan dirinya, Jee bersama penyanyi undangan, Datuk Jamal Abdillah mendendangkan lagu duet ikonik, Kehebatan Cinta sebelum pentas diserahkan kepada Raja Pop itu yang mempersembahkan lagu Gadis Melayu.

Antara lagu yang didendangkan untuk segmen kedua adalah Ku Pohon Kemaafan, Aku Masih Seperti Dulu, Bukan Kemahuan Fikiran dan Tiada Noktah Cinta.

Sebelum masuk ke segmen ketiga, Jee berduet dengan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Kehebatan Cinta. Boleh dikatakan satu pilihan tepat, kedua-dua kelihatan serasi dan kedengaran seimbang. Suara Jee tidak tenggelam dek kehebatan vokal Jamal.

Jamal juga sempat memukau penonton dengan lagu Penghujung Rindu dan Gadis Melayu. Gamat jadinya seluruh dewan dengan persembahannya.

Persembahan kemudian memasuki segmen ketiga apabila Jee kembali menjentik emosi penonton menerusi lagu Kau Merubah Segalanya dan Batas Menanti.

Tidak sah rasanya jika tidak melihat Jee menyampaikan lagu rancak. Satu masa dahulu Jee pernah terkenal sebagai penyanyi yang memiliki showmanship hebat di atas pentas.

Lagu-lagu seperti Di Muara Sepi dan Sekilas Senyumanmu pastinya mengimbas semula memori di zaman kegemilangan Jee yang sering membuat persembahan bersama kumpulan penari.

Jee menyimpan lagu-lagu meganya untuk segmen terakhir yang menyaksikannya tampil dengan gaya ringkas.  Tiga segmen sebelumnya dia menggayakan gaun glamor rekaan Ezuwan Ismail.

TAMPIL lebih bertenaga dengan busana bercelana, Jee menyampaikan seleksi hit Dia, Dari Kaki Tangga Ke Menara dan Yang Kau Lebih Bercinta dengan gaya tersendiri.

Kali ini Jee memakai blaus dan bercelana longgar. Kata Jee lebih selesa untuk dia bergerak. Khabarnya baju yang dipakai itu adalah untuk sesi ‘meet and greet’. Tetapi tidak mengapa, asalkan Jee selesa di atas pentas.

Ternyata Jee kelihatan lebih relaks dan lebih lincah biarpun lagu-lagu yang dinyanyikan untuk segmen terakhir ini adalah lagu-lagu balada meganya iaitu Dia, Dari Kaki Tangga Ke Menara, Yang Lebih Kau Cinta dan Gubahan Rindu Puisi Syahdu.

Jee menutup tirai konsert solo pertamanya dengan lagu yang memenangi Anugerah Juara Lagu 1993 iaitu Teratai Layu Di Tasik Madu.

Lebih 20 buah lagu dinyanyikan secara penuh oleh Jee pada malam tersebut membuktikan dia benar-benar ingin menjadikan konsertnya hadiah dan kenangan terindah buat peminat setianya.

Pujian harus diberikan atas usaha dan kegigihan penyanyi berusia 56 tahun itu menyampaikan kesemua lagunya sehabis baik. Seperti kata Jee, nyanyiannya mungkin tidak sempurna, tetapi bagi peminat setianya, malam itu merupakan malam sebuah memori indah tercipta dan rata-rata mereka puas dengan persembahannya.

Penulis percaya, bagi setiap peminat yang hadir, mereka tidak mengharapkan nyanyian Jee sebaik Celine Dion. Apa yang diharapkan adalah untuk melihat susuk bintang pujaan mereka berdiri di atas pentas menghiburkan mereka dengan rangkaian lagu hit. Itu sudah memadai.

Seperti kata pengarah muzik, Chaan, dia tidak boleh mengubah keseluruhan lagu-lagu Jee kerana kebanyakannya adalah lagu ‘sing along’. Jadi dia cuba sehabis baik untuk mengubah sesedap rasa dan tidak keterlaluan di halwa telinga penonton.

Biarpun ini adalah konsert ketiga anjuran Ideatelier, nampaknya mereka benar-benar serius untuk menjadi antara penganjur konsert terbaik di Malaysia. Ideatelier membawa kru dari Indonesia untuk mencantikkan konsert tersebut dari segi teknik pencahayaan.

Begitu juga dengan paparan di skrin besar yang melatari setiap persembahan Jee. Namun sedikit sayang kerana kurang dipaparkan video-video Jee sepanjang empat dekad bergelar penyanyi. Jika ada pasti lebih memberi impak.

Namun sekalung tahniah diucapkan kerana berani mengambil risiko menganjurkan konsert pertama buat Fauziah Latiff di saat penganjur lain mungkin kurang yakin dengan kemampuannya beraksi di pentas besar.

Seperti kata Jee pada penghujung persembahan, konsert tersebut merupakan permulaan yang baik untuk dia kembali mewarnai pentas nyanyian selepas sekian lama berehat panjang. Teruslah mekar di persada seni, usahlah layu di tasik madu lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok