Saya akan tularkan komen bukan-bukan – Ako Mustapha

BERANG tindakan dipertikaikan segelintir pihak, pelakon Ako Mustapha menegaskan laporan polis berhubung kes buli membabitkan anaknya dibuat atas arahan doktor.

Ako atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha berkata, pemeriksaan dan rawatan terhadap kecederaan dialami Mikael Iskandar Mustapha, 10, hanya dapat dilakukan selepas laporan rasmi dibuat.

“Adakah mereka yang memberi komen mengenali anak saya? Apabila dia dibuli, saya tidak menyerang kanak-kanak itu mahupun ibu bapa mereka.

“Namun, saya melihat kesan lebam dan bekas tapak kasut pada perut anak saya. Selepas ditanya, dia menceritakan kejadian yang berlaku sebelum kami membawanya ke klinik.

Pihak klinik minta kami merujuk kes ini ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor minta laporan polis dibuat terlebih dulu sebelum kes boleh diterima. Sebab itu kami buat laporan polis kerana matlamat utama untuk memastikan anak diperiksa dan dirawat segera,” katanya dalam hantaran di Threads.

Menerusi hantaran lain, aktor berusia 55 tahun itu turut memperjelaskan haknya menggunakan media sosial untuk mendedahkan kes buli di sekolah yang mengakibatkan mereka sekeluarga pula diserang segelintir netizen.

Menurut Ako, perkongsian yang dibuat merupakan perkara biasa dilakukan orang ramai tanpa mengira status mahupun latar belakang.

Zaman sekarang semua orang ada media sosial. Individu bukan artis pun boleh tular. Jadi, tindakan kami berkongsi perkara ini adalah hak kami.

Dalam semua hantaran, kami tidak menyebut nama kanak-kanak itu mahupun nama sekolah. Jadi, apa motif mereka menyerang anak saya?” katanya.

Sebagai amaran, Ako akan mendedahkan komen jelik yang ditinggalkan di akaun miliknya.

Suka sangat beri komen bukan-bukan. Sekarang saya akan tular pula komen kamu satu persatu,” kongsinya.

Sebelum ini, Ako berkongsi kejadian anaknya dibuli di sekolah dipercayai melibatkan lima murid terdiri daripada dua pelajar senior dan tiga rakan sekelas.

Menurutnya, insiden tersebut hanya disedari selepas Mikael pulang ke rumah dan selesai mandi sebelum kesan kecederaan pada tubuhnya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan tindakan lanjut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok