SETIAP individu ada kisah hitam, begitu juga selebriti ternama. Di sebalik kemasyhuran, tersembunyi 1,001 rahsia peribadi yang tersimpan kemas.
Ada baik, ada juga terselit kisah buruk yang berpotensi menjejaskan kelancaran perjalanan karier anak seni andai terbongkar.
Lebih teruk andai hal yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan ramai itu berkaitan ahli keluarga seperti yang berlaku kepada beberapa idola K-Pop.
Kali ini, Kimchi Panas mendedahkan empat selebriti berdepan masalah apabila kisah buruk keluarga mereka diketahui umum.
Yuri Girls’ Generation
PADA 2019, skandal seks Burning Sun menjadi berita utama antarabangsa sehingga mencemarkan imej dunia hiburan Korea Selatan.
Antara penjenayah yang terlibat ialah abang penyanyi Yuri iaitu Kwon Hyuk-jun.
Sekitar November tahun sama, Hyuk-jun didapati bersalah kerana mengambil bahagian dalam serangan seksual dan aktiviti perbualan lucah.
Hukuman terhadapnya dikurangkan daripada 10 tahun kepada empat tahun penjara.
Leeteuk Super Junior
PADA 6 Januari 2014, bapa, datuk dan nenek penyanyi Leeteuk ditemui meninggal dunia di kediaman mereka.
Laporan polis mengesahkan bahawa ketiga-tiga mereka meninggal dunia angkara bapa pemilik nama sebenar Park Jeong-su itu iaitu Park Yong.
Difahamkan, Park bergelut dengan masalah kemurungan dan hutang sehingga mengambil keputusan mencekik datuk dan nenek anggota kumpulan Super Junior itu yang menghidap penyakit demensia sebelum menggantung dirinya.
Ketika menerima berita pemergian ahli keluarga, penyanyi berusia 41 tahun itu sedang berkhidmat sebagai tentera turut bergelut dengan masalah kemurungan akibat kehilangan orang tersayang.
Ha:tfelt
PENYANYI Ha:tfelt pernah berdepan tuntutan mahkamah berhubung skandal penipuan bapanya, Pastor Park.
Park dituduh mengawal wang pengikutnya sehingga memaksa Ha:tfelt atau nama sebenarnya Park Ye-eun tampil menafikan penglibatan bapanya.
Bagaimanapun, Park didenda dan dihukum enam tahun penjara kerana menipu 150 individu pada Februari 2017.
Dia turut disiasat kerana didakwa melakukan serangan seksual terhadap wanita berusia 20-an yang juga pengikutnya.
Kecewa dan malu dengan kejadian itu, penyanyi berusia 35 tahun berkenaan menegaskan tidak akan sesekali memaafkan bapanya dan enggan berkomunikasi lagi dengan lelaki terbabit.
Goo Hara
TRAGEDI penyanyi Goo Hara yang ditemui tidak bernyawa di rumahnya di Gangnam, Seoul pada 24 November 2019 membongkar sisi hitam keluarganya.
Selepas pemergian selebriti itu, ibunya yang terpisah sekian lama tiba-tiba menghubungi abangnya iaitu Goo Ho-in untuk menuntut sebahagian harta.
Ho-in bagaimanapun bertindak memfailkan saman bagi menghalang orang tuanya mewarisi harta Goo Hara.
Pada 2020, Mahkamah Keluarga Gwangju mengumumkan Ho-In menerima 60 peratus harta yang ditinggalkan Goo Hara, manakala 40 peratus lagi untuk ibunya. – HIBGLAM