SABAN tahun pasti ada berita gembira buat peminat K-pop terutama membabitkan idola kesayangan menamatkan perkhidmatan ketenteraan.
Ini bermakna, penggemar dapat melepaskan kerinduan selepas sekian lama tidak mendengar suara mahupun melihat susuk fizikal idola pujaan mereka.
Lebih menggembirakan jika selebriti berkenaan melancarkan single atau tampil dengan drama dan filem baharu. Pastinya itu dianggap hadiah paling indah buat mereka.
Kimchi Panas kali ini menyenaraikan empat bintang K-pop yang bakal menamatkan perkhidmatan ketenteraan pada Februari depan.
Kai EXO
PASTI ramai tidak sabar menunggu kemunculan anggota kumpulan EXO iaitu Kai yang bakal menamatkan latihan wajib khidmat ketenteraan pada 10 Februari ini.
Ini susulan khabar angin Kai kini giat membuat persiapan kemunculan semula EXO selepas persembahan yang sepatutnya berlangsung pada 2023 ditangguhkan kerana penyanyi itu perlu menjalani latihan ketenteraan.
Sebelum ini, pemilik nama lengkap Kim Jong-in itu pernah mencetuskan kontroversi apabila dikatakan bercuti di Bali, Indonesia ketika masih berada di kem.
Pihak pengurusannya, SM Entertainment bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan itu.
Kihyun Monsta X
SELEPAS anggota Monsta X, Joohoney menamatkan latihan ketenteraan pada Januari lalu, rakannya Kihyun pula bakal menyusul pada 21 Februari ini.
Pemilik nama lengkap Yoo Ki-hyun itu khabarnya teruja untuk kembali aktif menghiburkan peminat selepas lama ‘terkurung’ dalam kem.
Apatah lagi dia mula menyedari mempunyai ramai penyokong setia selepas mendaftar masuk latihan ketenteraan pada 22 Ogos 2023.
Perkembangan positif itu membuatkan Kihyun mahu bekerja keras untuk menghasilkan lebih banyak karya bermutu.
Jaehyun N. Flying
JAEHYUN menjadi anggota terakhir kumpulan N. Flying menyertai khidmat latihan ketenteraan.
Ini bermakna, N. Flying sudah boleh merancang kemunculan semula sebagai kumpulan lengkap.
Jaehyun atau nama sebenarnya Kim Jae-hyun, 31, dijangka menamatkan perkhidmatannya pada 24 Februari ini.
Dongheon Verivery
PEMINAT sudah mula membuat ‘countdown’ tarikh tamat tugas anggota kumpulan Verivery, Dongheon yang dijadualkan pulang pada 27 Februari depan.
Dongheon merupakan anggota pertama Verivery menyertai perkhidmatan ketenteraan.
Ketika mendaftar diri pada pada 28 Ogos 2023, semua ahli Verivery mengiringinya sebagai tanda sokongan.
Difahamkan mereka akan berkumpul sekali lagi bagi menyambut kepulangan Dongheon malah masing-masing sudah tidak sabar bertemu penyanyi itu. – HIBGLAM