MEMASANG impian ke Mekah dengan sahabat baik, pelawak Shuib bersyukur apabila hajat membawa Mamat Sepah mengerjakan umrah bakal menjadi kenyataan Mac depan.
Kata Shuib atau Shahmira Muhammad, 40, perkara tersebut terlintas dalam fikirannya ketika dia dan keluarga ke Tanah Suci sekitar November tahun lalu.
“Sebelum ini saya ada pergi umrah. Sepanjang umrah di Mekah dan Madinah, hati ini terdetik dan berkata-kata, seronoknya kalau dapat pergi umrah bersama Mamat.
“Apabila balik umrah, saya ada bercakap dengannya (Mamat) mesti seronok kalau kita pergi umrah sama-sama.
“Ini semua kuasa Allah dan Allah yang makbulkan niat saya. Insya-Allah, kami akan pergi umrah pada bulan puasa nanti,” katanya menerusi perkongsian Instagram.
Dalam hantaran video tersebut, usahawan terbabit turut berkongsi reaksi rakannya itu yang tidak dapat menahan sebak sebaik menerima kejutan.
Teman seperjuangan yang sama-sama menubuhkan kumpulan Sepah sekitar 2011 tidak dapat menahan air mata sebaik membaca dokumen diajukan Shuib.
Lebih istimewa, bapa kepada empat anak itu bukan hanya membawa Mamat, bahkan isteri Mamat iaitu Nordiana Ibrahim yang bakal sama-sama menunaikan umrah.
Menurut Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad, 39, jemputan ke Tanah Suci ketika Ramadan nanti juga bertepatan dengan ulang tahun perkahwinan mereka pada 1 Mac depan.
“Semoga Allah lapangkan rezeki sahabatku dan lepaskanlah dia dari segala dugaan yang menimpanya,” katanya.
Perkongsian Shuib turut meraih perhatian netizen dalam media sosial apabila rata-rata menzahirkan rasa sebak atas persahabatan mereka.
“Tahniah Mamat dan terbaik Shuib. Ingat kawan masa susah senang dulu. Rezeki kau Mamat dapat kawan macam ni,” kata netizen.
“Susah dengan kawan, senang pun dengan kawan. Saya ada seorang macam ni. Tak selalu ada tapi sentiasa bersama,” ujar seorang pengikut. – HIBGLAM