ADA yang anggap saya degil dan sombong kerana memutuskan memperjuangkan kes ini. Kalau orang lain mungkin memilih untuk tidak meneruskan jalan ini.”
Demikian respons pelakon Amelia Henderson apabila ada pihak yang menyelarnya degil dan sombong kerana memperjuangkan isu pelanggaran kontrak bersama syarikat produksi A.AidaProduction.
Amelia atau nama lengkapnya Amelia Thripura Henderson, 28, yang menitiskan air mata berkata, tidak pernah terlintas di fikiran dia akan berdepan situasi sebegitu sepanjang 27 tahun bergelar anak seni.
Meski reputasi teracalar dan terkesan dengan isu itu, Amelia enggan larut dalam emosi sebaliknya optimis pasti ada rezeki sudah diatur Tuhan untuknya.
Sudah semestinya saya ambil berat kerjaya saya dan tidak mampu menghancurkan segala yang telah dibina selama ini.
“Apabila saya fikir tentang rezeki mendatang, saya reda kerana perkara ini bukan di tangan manusia tetapi semua datang daripada Tuhan,” katanya.
Hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan membenarkan rayuan Amelia menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.AidaProduction dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.
Sebelum ini, Amelia telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi tersebut pada 7 April lalu.
Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.
Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Untuk rekod, sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.
Semasa perbicaraan seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A.Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.
Sementara itu, Amelia tetap dengan pendirian tidak melanggar kontrak ketika menerima tawaran dan membintangi drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Sebelum ini, media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – HIBGLAM